KUALA LUMPUR: Seramai enam pengarah drama dan filem terkenal tanah air berkolaborasi dengan enam orang penuntut jurusan seni filem dalam menghasilkan filem televisyen menerusi kempen Karya 12.
Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, menerusi Karya 12, enam penuntut yang terpilih diberi peluang untuk menghasilkan karya masing-masing dengan bantuan daripada pengarah berpengalaman.
"Inisiatif ini adalah kali pertama diperkenalkan oleh Astro bertujuan untuk mencetuskan anjakan baharu kepada industri perfileman yang dilihat semakin kompetitif dan berdaya saing.
"Ia platform untuk graduan seni filem untuk tampil mencurahkan idea masing-masing dengan bantuan pengarah terkenal yang bertindak sebagai mentor mereka," katanya kepada mStar Online.
Khairul Anwar berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra-tonton dan sidang media Karya 12 di GSC Pavillion di sini, Khamis.
Enam pengarah yang terlibat dalam projek berkenaan adalah Yusry Abdul Halim, Osman Ali, Sabri Yunus, Bernard Chauly, Michael Ang dan Ghaz Abu Bakar.
Kesemua 12 karya yang dihasilkan akan disiarkan pada setiap Sabtu bermula 30 April ini pukul 10 malam di Astro Citra (131) dan Mustika HD (134).
Dalam pada itu, Khairul Anwar berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan beberapa institut pengajian tinggi tempatan yang menawarkan kursus seni filem untuk mencari bakat yang mampu diketengahkan dan menyertai Karya 12.
Katanya, pencarian tersebut bermula sejak November tahun lalu dan menerusi beberapa proses saringan enam karya telah dipilih berdasarkan potensi untuk difilemkan dan disiarkan.
"Karya tersebut dipilih oleh enam pengarah terlibat dan mereka bertanggungjawab untuk membantu pelajar mengolah kandungan penceritaan dan skrip.
"Malah kami turut memberikan peruntukan kewangan bagi membolehkan mereka membiayai projek yang bakal dihasilkan," katanya.
Malah kata Khairul Anwar, projek berkenaan turut dibintangi oleh pelakon terkenal seperti Pekin Ibrahim, Nora Danish, Fizz Fairuz, Kamal Adli, Remy Ishak, Fathia Latiff, Bront Palarae, Tya Ariffin dan Beto Kusyairy.
Dalam perkembangan sama, Khairul Anwar berkata, selain enam projek pelajar berkenaan, pengarah terlibat turut menghasilkan filem televisyen mereka sendiri yang turut ditayangkan menerusi slot sama.
Jumaat, 15 April 2016
New
Karya 12 Projek Gabungan Pelajar & Pengarah
Utama
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan