Ahad, 12 Mac 2017

Dengan Keadaan Pembangkang Semakin Agresif Mampukah BN Kekal Memerintah?

Sejauh mana faktor popular, benteng terakhir Barisan Nasional (BN): Johor, Sabah dan Sarawak. Apa yang disebut sebagai fixed deposit, dalam 12 siri pilihan raya umum memberi kemenangan bergaya BN menguasai kerajaan pusat.

Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU12) 2008, telah mula membuka ruang, menghakis lagenda 3 negeri tersebut sebagai simpanan tetap BN. Perkembangan selepas PRU12 menerusi beberapa ciri pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri, memperkukuhkan tanggapan kemerosotan sokongan terhadap BN secara berterusan.

Johor boleh berbangga dengan sejarah penubuhan UMNO, serta menjadikannya kubu kuat UMNO yang banyak menyumbangkan kemenangan mutlak untuk Perikatan (1959-1969) dan BN (bermula 1974). Dato' Onn Jaafar, bekas Menteri Besar Johor, menubuhkan UMNO menjadikan Johor sebagai tapak pelancaran, kemudiannya menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya, disusuli Parti Negara. Beliau gagal menempatkan diri dalam politik nasional menerusi basenya di Johor, menerusi Parti Negara.

 Beliau berjaya menempah tiket dalam politik nasional, menerusi negeri Terengganu, bila berjaya memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu Selatan sebagai calon Parti Negara, dalam PRU1 (1959).

Kekuatan sesebuah parti boleh dilihat menerusi kejayaan calonnya menang tanpa bertanding dalam pilihan raya. Walaupun bukan semua calon menang tak bertanding menggambarkan kekuatan parti serta kelemahan parti lawan di sesuatu kawasan atau tempat, kemenangan ini juga akibat atas sebab-sebab teknikal. Tapi umumnya, kemenangan tanpa bertanding, yang ketara lebih kuat kepada faktor kekuatan parti, yang tak mampu ditandingi atau dicabar oleh parti lawan.

Sepanjang 12 siri PRU di negara kita, kekuatan UMNO Johor digambarkan menerusi kemenangan tanpa bertanding yang paling banyak, berbanding dengan negeri-negeri lain. Contohnya kawasan Parlimen Johor Tenggara. UMNO/Perikatan menang tanpa bertanding dalam PRU1 dan PRU2, sementara dalam PRU3, UMNO menang dengan majoriti besar. Dalam PRU4 (1974), selepas persempadan, Johor Tenggara, ditukar ke Parlimen Panti, dan sekali menang tak bertanding. Dalam PRU6 (1982), UMNO menang lagi di Panti.

Selepas persempadanan 1993, dinamakan Parlimen Kota Tinggi. Selepas persempadanan 2003, sebahagian kawasan Parlimen Kota Tinggi, diwujudkan kawasan baru, Parlimen Pengerang. Dalam PRU11 dan PRU12, BN menerusi calon UMNO, menang tak bertanding. Secara tradisinya, kawasan Kota Tinggi-Pengerang, asalnya Johor Tenggara, adalah kawasan kubu kuat UMNO, yang gagal disaingi parti-parti lawan: Pas, Semangat 46 dan PKR.

Dalam PRU1, Perikatan menang tak bertanding di 3 kerusi Parlimen: Kemaman, Port Dickson dan Johor Tenggara. Di samping 4 kerusi DUN: Pontian Kechil (Johor), Bukit Betong (Pahang), Dhoby Ghaut (Pulau Pinang) dan Kuala Kubu Baru (Selangor). Walaupun Pas berjaya bentuk kerajaan di Terengganu menerusi PRU1, undi calon-calon Pas di peringkat kerusi DUN dalam kawasan Kemaman amatlah rendah, menang patut Pas gagal saingi UMNO di kerusi Parlimen.

Dalam PRU2 (1964), semua kerusi sama ada DUN atau Parlimen menghadapi pesaingan, kecuali di Johor yang menyaksikan Perikatan menang tak bertanding: 2 kerusi Parlimen dan 3 kerusi DUN. Kerusi Parlimen ialah Johor Tenggara dan Muar Selatan. Kerusi negeri ialah Bukit Serampang, Parit Jawa (dalam kawasan Muar Selatan) dan Johor Lama (dalam kawasan Johor Tenggara. Semuanya menerusi calon UMNO.

Dalam PRU3 (1969), keadaan sama berlaku seperti PRU2. Kekuatan Johor sebagai kubu UMNO lebih ketara. Perikatan menang tanpa bertanding di negeri Johor sahaja: 5 kerusi Parlimen (Muar Utara, Muar Selatan, Muar Dalam, Pontian Selatan & Batu Pahat), 4 kerusi DUN (Parit Bakar, Jorak, Parit Jawa dan Mersing). Semuanya kecuali Batu Pahat, menerusi calon UMNO.

Di samping itu, Sabah buat pertama kalinya, mengadakan pilihan raya bagi kerusi Parlimen, Parti Perikatan Sabah (USNO-SCA) menang tanpa bertanding di 11 kerusi dari jumlah 16 kerusi Parlimen. Semua yang menang itu adalah calon USNO. SCA yang bertanding di 3 kerusi Parlimen: Jesselton, Sandakan dan Tawau, ditentang oleh calon-calon bebas, begitu juga calon USNO di Bandau dan Kota Marudu ditentang oleh calon-calon bebas.

Selepas Peristiwa 13 Mei 1969, disusuli pergantungan perlembagaan dan semua dewan perundangan tidak berfungsi, kuasa legislatif ditadbir urus oleh Majlis Gerakan Negara, telah mengubah senario politik tanah air. Bila pergantungan perlembagaan ditarik balik bermula masuk tahun baru 1971, demokrasi dipulihkan dan kuasa legislatif dikembalikan kepada Parlimen dan dewan perundangan negeri.

Pengalaman dari peristiwa 1969 yang membawa kepada pergantungan badan perundangan, yang lebih menjurus kepada polarisasi kaum memberikan idea pembentukan gabungan parti-parti utama yang menguasai PRU3, membentuk BN. Perikatan yang diasaskan hasil gabungan 3 parti utama mewakili kaum utama: UMNO, MCA dan MIC dibubarkan untuk memberi laluan penubuhan gabungan baru, BN.

Di samping UMNO, MCA dan MIC, turun disertai Pas (yang menguasai kerajaan Kelantan), Gerakan (yang menguasai kerajaan Pulau Pinang), Parti Bumiputera Bersatu(PBB)(yang kuasai kerajaan Sarawak), USNO dan SCA (menguasai kerajaan Sabah), SUPP (pembangkang di Sarawak), dan PPP (pembangkang di Semenanjung). Komponen ini ditubuhkan dalam tahun 1974. Sebelum itu, bermula tahun baru 1973, pembentukan kerajaan campuran di beberapa negeri.

Dalam PRU4 (1974), dengan gabungan parti-parti pembangkang utama Pas, Gerakan dan SUPP ke dalam BN, menjadikan pilihan raya yang kurang mencabar dan berat sebelah. Pada hari penamaan calon, BN telah menang tanpa bertanding di 47 kerusi Parlimen dan 45 kerusi negeri. Satu rekod, yang belum diatasi setakat hari ini.

Johor yang terkenal sebagai kubu UMNO, mencatatkan kemenangan tak bertanding paling banyak iaitu 8 dari 16 kerusi Parlimen dan 15 dari jumlah 32 kerusi DUN. Sebahagian besar di luar bandar, kawasan Melayu. Johor adalah negeri tunggal di mana Pas tidak diperuntukan sebarang kerusi, atas keegoaan UMNO Johor sebagai kubu kuat UMNO seluruh negara. BN cuma berdepan calon-calon DAP, PSRM, Pekemas serta calon bebas, yang gagal beri saingan sengit.

Di Sabah, BN menang tanpa bertanding di semua kawasan Parlimen, kecuali di Bandau, BN ditentang calon lightweight yang bertanding sebagai calon bebas. Tiada suasana pilihan raya langsung.

BN hadapi tentangan mudah di Kedah berbanding Kelantan dan Terengganu, setelah kekosongan ditinggalkan Pas. BN menang tanpa bertanding di 8 dari 14 kerusi Parlimen dan 8 kerusi DUN. Di Kedah, hanya berdepan dengan calon-calon bebas, yang bertanding bersendirian.

Sementara di Kelantan, BN cuma menang 4 kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN. Berbeza dengan Kedah, kerana BN Kelantan ditentang hebat oleh kumpulan calon bebas yang bertanding atas Barisan Bebas Bersatu, yang bertanding di hampir semua kerusi. Majoriti calon-calon bebas ini adalah bekas penyokong Pas yang menentang kemasukan Pas ke dalam BN.

Di samping 14 orang calon PSRM, yang cuma bertanding di kerusi negeri dan 9 daripadanya hilang wang pertaruhan. BN menang besar di hampir semua kerusi dan kemenangan paling tipis ialah di kerusi Selising, 200 undi lebih.

Di Terengganu, BN cuma menang 1 kerusi Parlimen dan 1 kerusi DUN, setelah PSRM gagal meletakkan calonnya di kawasan berkenaan. BN menghadapi tentangan sengit di semua kawasan oleh PSRM, yang mengambil kesempatan kekosongan yang ditinggalkan Pas.

Sebahagian kawasan adalah pertandingan satu lawan satu, antara BN dan PSRM. Cabaran paling sengit ialah di kerusi Kuala Berang (PSRM kalah 149 undi) dan kerusi-kerusi dalam bandar dan pinggir bandar Kuala Terengganu. Kerusi Batu Burok jatuh ke tangan calon bebas.

Dalam PRU5 (1978), suasana jauh berbeza dengan PRU4, atas 2 faktor utama: pemecatan Pas dari BN dan trend perpindahan pengundi bandar/bukan Melayu ke DAP, termasuk Sabah.

Kekalahan teruk Pas dalam pilihan raya negeri Kelantan, yang diadakan awal dan berasingan, memberi kesan kepada corak pengundian kawasan-kawasan luar bandar di Semenanjung, yang memberikan BN mengekalkan penguasaan. Pas dapat bertahan dengan kemenangan beberapa kerusi di Kedah (2 Parlimen dan 7 negeri) dan Pulau Pinang (1 Parlimen dan 1 negeri).

BN menang tak bertanding di 9 kerusi Parlimen: 1 di Johor (Batu Pahat), 3 di Sarawak (Baram, Bukit Mas dan Padawan), serta Ulu Padas (Sabah), Batu Berendam (Melaka), Setapak (Wilayah Persekutuan), Jelebu (Negeri Sembilan) dan Kuala Nerus (Terengganu). Di peringkatan kerusi DUN, BN menang tak bertanding di 5 kerusi: Sri Lalang, Bandar Maharani, Bandar Penggaram, Benut dan Skudai.

Dalam PRU6 (1982), menampakkan peningkatan imej BN, dengan peningkatan sokongan serta perolehan undi sama ada di kawasan luar bandar mahupun di bandar. Sokongan orang Melayu kepada BN melalui UMNO, Bumiputera di Sabah dan Sarawak, serta sokongan kepada komponen BN di bandar, terutamanya MCA, telah meningkat.

Kemerosotan pencapaian BN cuma di Sabah dan Sarawak, bila 8 kerusi milik BN terlepas, kepada calon-calon bebas, tajaan sesama parti komponen BN. BN kalah kerusi Parlimen Marudu, Kota Belud, Labuk-Sugut, Hilir Padas dan Silam, bila calon bebas tajaan Parti Berjaya menumpaskan calon BN dari USNO. Masa itu, USNO anggota komponen di peringkat Pusat, tetapi pembangkang di peringkat negeri, yang diterajui Berjaya.

Di Sarawak, BN kalah di kerusi Parlimen Batang Lupar, Saratok dan Mas Gading kepada calon-calon bebas tajaan SNAP, di mana SNAP juga anggota komponen BN.

Prestasi DAP merosot bila gagal mengekalkan kerusi yang dimenangi dalam PRU5. DAP cuma mampu dapat 9 kerusi Parlimen, sementara Pas bertahan dengan 5 kerusi Parlimen, tetapi telah mula membaiki prestasi di Kelantan.

BN menang 12 kerusi Parlimen tanpa bertanding, di 3 buah negeri, Johor, Sabah dan Sarawak. 4 kerusi di Johor: Labis, Ledang, Panti dan Pontian. 2 di Sabah: Kinabalu dan Kinabatangan. 6 di Sarawak: Kapit, Ulu Rajang, Bukit Mas, Santubong, Samarahan dan Lubok Antu. Semuanya kawasan luar bandar. Di samping itu, BN menang tanpa bertanding 7 kerusi negeri di Johor.

Dalam PRU7 (1986), BN mengekalkan kemenangan tanpa bertanding di Johor, Sabah dan Sarawak, di peringkat Parlimen. Masih ada kemenangan tak bertanding bagi BN, walaupun dengan bilangan kerusi yang berkurangan. 6 kerusi dimenangi BN tanpa bertanding: Parit Sulong dan Sri Gading (Johor), Kinabalu dan Keningau (Sabah), Santubong dan Paloh (Sarawak).

Di peringkat kerusi DUN, Johor masih mengatasi negeri lain, bila berjaya dapat 4 kerusi percuma; Jementah, Serom, Parit Yaani dan Parit Raja. Parit Yaani dan Parit Raja, kedua-duanya dalam Parlimen Sri Gading, ertinya warga pengundi dalam kawasan Sri Gading, tidak mengundi dalam PRU7.

Kesan persempadanan kawasan pilihan raya 1983, yang digunapakai dalam PRU7, memberi kelebihan kepada BN, bila BN melalui calon-calon UMNO berjaya dengan cemerlangnya. Tetapi sebaliknya persempadanan ini, memberi kesan sebaliknya kepada kawasan bandar. DAP berjaya menguasai 24 kerusi Parlimen, bukan sahaja kerusi-kerusi bandar utama di Semenanjung, tetapi juga di Sabah dan Sarawak.


Pakatan parti-parti pembangkang dalam kerjasama pilihan raya melalui Harakah Keadilan (HAK), yang melibatkan Pas, Parti Demokratik Sosial (SDP) dan Parti Nasionalisme (NasMa), gagal beri cabaran kepada BN. HAK bermatlamat mengelakkan persaingan tiga penjuru gagal, tanpa penyertaan DAP.
Seperti juga PRU6, BN hilang 4 kerusi Parlimen, hasil kemenangan calon-calon bebas tajaan anggota komponen BN sendiri. 4 kerusi berkenaan ialah Marudu (Sabah), Serian dan Rajang (Sarawak) dan kerusi Parlimen Labuan.

Krisis UMNO yang membawa kepada pembatalan pendaftaran UMNO, 1988, menyaksikan kesan besar kepada penguasaan UMNO di kawasan luar bandar. Johor sebagai kubu kuat UMNO sejak sebelum merdeka lagi, terjejas kesan kemelut yang melanda UMNO.

Ujian pertama, Ahli Parlimen Johor Bahru dan bekas Menteri Persekutuan, Dato' Shahrir Abdul Samad mengosongkan kerusi Parlimen untuk membolehkan satu pilihanraya kecil. Dato' Shahrir, yang bertanding sebagai calon bebas menumpaskan calon UMNO(Baru)/BN, Haji Mas'ud Abdul Rahman, dengan majoriti melebihi 6,000 undi. Ujian sulong menerusi peti undi, menghasilkan UMNO(Baru) gagal di kubu dan tempat asalnya.

2 bulan kemudian, satu lagi pilihan raya kecil diadakan di negeri kubu kuat UMNO, Johor, iaitu bagi kerusi DUN Parit Raja. Parit Raja adalah kubu kuat UMNO Johor dan menang tak bertanding dalam PRU sebelum itu. Calon UMNO(Baru)/BN, Mohd Yassin Kamari, menang tipis majoriti 400 undi lebih, mengalahkan calon bebas, Hamdan Yahya (bekas Ketua Pemuda UMNO Sri Gading), dan 9 calon bebas lain, yang setiap orang mendapat undi di bawah 100 undi.

2 tahun kemudian, berlangsung PRU8, yang menyaksikan buat pertama kalinya, UMNO khususnya, BN amnya, tiada kerusi dimenangi tanpa bertanding di Johor. Cuma 2 kerusi tidak dipertandingkan: Lubok Antu (dimenangi BN) dan Keningau (dimenangi PBS), satu di Sarawak dan satu di Sabah. Tiada kerusi DUN menang tak bertanding di seluruh negara. PRU8, tidak melibatkan DUN Sabah dan Sarawak.

BN menghadapi PRU8 dalam saingan yang paling getir selepas 16 tahun usia penubuhannya. BN dibentuk dalam tahun 1974. Di kawasan luar bandar di Semenanjung bertembung dengan Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan), gabungan parti-parti Pas-Semangat 46-Berjasa-Hamim. Sementara di kawasan bandar di Semenanjung dan Sabah, Gagasan Rakyat (Gagasan) hasil kerjasama pilihanraya Semangat 46-DAP-IPF-PBS.

BN kekurangan 21 kerusi Parlimen berbanding dengan PRU7. Kerjasama Pas dan Semangat 46, membolehkan memperolehi 15 kerusi Parlimen luar bandar/Melayu di Kelantan dan Terengganu. BN hilang sebuah kerajaan negeri, Kelantan.

Malah di Kelantan, semua 52 calon BN, sama ada Parlimen atau DUN kalah. Buat pertama kali dalam sejarah, calon UMNO kalah di Johor, iaitu di kerusi Parit Bakar. Calon-calon UMNO, hadapi tentangan sengit dari calon Angkatan di kawasan luar bandar, kecuali di sebelah utara (Kedah, Perlis, Pulau Pinang).

Di Sabah, PBS menang 14 kerusi Parlimen, sementara di Sarawak, 4 calon bebas berjaya menundukkan calon rasmi BN di Baram, Hulu Rajang, Selangau dan Serian. Calon DAP masih menguasai sektor bandar, dengan 20 kerusi.

Dalam PRU9 (1995), BN gagal mengulangi tradisi menang tak bertanding di Johor, bila cuma mampu menang tak bertanding di 1 kerusi DUN sahaja; Bukit Naning. BN menang tak bertanding 11 kerusi Parlimen: 2 di Semenanjung dan 9 di Sarawak. Di Sabah, BN gagal menang tak bertanding kerana saingan sengit ditawarkan PBS.

2 kerusi menang tak bertanding di Semenanjung adalah lantaran kesilapan teknikal borang pencalonan parti lawan: Larut dan Petaling Jaya Utara. Petaling Jaya Utara adalah kerusi yang dimenangi DAP dalam PRU sebelumnya. 9 kerusi Parlimen dari Sarawak tersebut: Petra Jaya, Kota Samarahan, Batang Lupar, Lubok Antu, Betong, Kuala Rajang, Serikei, Kanowit dan Mukah. 5 dari jumlah itu, adalah kawasan majoriti Bumiputera Islam yang ditandingi calon BN dari PBB.

Kesan persempadanan kawasan pilihan raya 1993, mengakibatkan Semangat 46 dan Pas kehilangan beberapa kerusi, walaupun berjaya mempertahankan kerajaan Kelantan.

PRU10 (1999) pula, politik nasional menghadapi satu lagi episod perpecahan undi Melayu dan masyarakat luar bandar, yang secara relatifnya perpecahan sokongan UMNO. Pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang meledakkan gerakan reformasi, seluruh negara, memberi impaks besar kepada BN, khususnya di Semenanjung.

Penyokong DS Anwar dalam UMNO, dengan sokongan aktivis NGO Islam seperti ABIM, Jemaah Islam Malaysia (JIM), serta beberapa NGO reformasi sosial, bercantum menubuhkan Parti Keadilan Nasional (KeADILan).

KeADILan, bersama Pas, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) membentuk sebuah pakatan pilihan raya: Barisan Alternatif (BA). Sepadan dengan namanya, ianya dijadikan landasan menawarkan kepada rakyat alternatif kepada BN, di samping mewujudkan pertandingan satu lawan satu, di semua kerusi.

Pada hari penamaan calon, cuma kawasan saja terlibat dengan kemenangan tanpa bertanding; satu kerusi Parlimen di Sarawak (Betong) dan satu kerusi DUN Johor (Tangkak). kedua-duanya milik BN. Persaingan sengit di seluruh negara, bila BN berdepan satu lawan satu dengan BA, di kebanyakan kawasan, kecuali Sabah dan Sarawak, melibatkan lebih dari 2 penjuru.

Implikasinya pencapaian BN lebih rendah dari PRU8. BN di samping gagal merampas kerajaan negeri Kelantan, hilang kerajaan negeri Terengganu. Di peringkat Parlimen, pembangkang berjaya mengumpul jumlah kerusi paling tinggi selepas merdeka; 45 kerusi.

UMNO telah hilang 32 kerusi Parlimen dan 102 kerusi DUN kepada Pas dan KeADILan. Dengan kata lain, BN kehilangan undi di kawasan luar bandar dan kawasan majoriti Melayu.

Dari 41 kawasan Parlimen di Semenanjung, di mana pengundi Melayu melebihi 80 peratus, 28 kawasan atau 68 peratus dimenangi oleh calon-calon Pas dan KeADILan. Jumlah undi BN telah merosot berbanding PRU9, sebanyak 56 957 undi atau 7.88%, dari 722 854 kepada 665 897.

Sementara undi calon pembangkang: Pas-Semangat 46 (PRU9) dan Pas-KeADILan (PRU10) meningkat dari 544 228 kepada 739 829 atau 195 601 iaitu peningkatan 35.94%.
Undi BN di Semenanjung cuma meningkat di 18 kawasan Parlimen, 70% pengundi bukan Melayu: dari 406 840 kepada 432 602 atau 25 762 (meningkat 6.33%), sementara undi pembangkang, yang dikuasai oleh DAP, meningkat sebanyak 62 840 (16.74%), dari 375 490 kepada 438 330 dalam PRU10.

Keseluruhannya undi BN telah merosot sebanyak 276 963 atau penurunan 8.78%, sementara parti-parti pembangkang berjaya meningkatkan undi sebanyak 825 810 atau peningkatan 32.64% di 144 kerusi Parlimen di Semenanjung.

Kesimpulannya, BN kehilangan undi Melayu tetapi dibantu undi bukan Melayu di Semenanjung, di samping bantuan padu undi dari Sabah dan Sarawak, membolehkan BN terus kekal berkuasa.

Faktor Johor amat penting buat BN. Perbandingan undi antara PRU9 dan PRU10, antara negeri di Semenanjung, di Johor sahaja undi BN bertambah dari 586 011 kepada 592 175 atau 6164 (tambahan 1.05%). Undi BN merosot di 10 negeri lain. Kemerosotan terbesar ialah di Perak (-16.72%), Pahang (-14.69%) dan Terengganu (-14.54%). Di Perak dan Pahang, BN diselamatkan oleh kawasan campuran dan majoriti bukan Melayu. Di Terengganu, BN kalah teruk, menang 4 dari 32 kerusi DUN dan kalah semua 8 kerusi Parlimen.

Persempadanan kawasan pilihan raya 2003, memberi kesan besar kepada BN. Tambahan kerusi dinafikan di Kedah, Kelantan dan Terengganu, kerana bahagian besar kawasan adalah majoriti Melayu, yang menafikan kemenangan besar BN dalam PRU10. Persempadanan kali ini difokuskan ke kawasan tengah dan selatan Semenanjung serta Sabah.

Johor dan Sabah dapat advantage besar dari persempadanan yang bertumpukan kepada kawasan campuran.

Justeru itu, dalam PRU11, BN menang selesa dan paling besar dalam sejarah pilihanraya di negara kita. Seperti lazimnya, Johor dan Sarawak menyumbangkan kerusi menang tanpa bertanding kepada BN: 3 kerusi Parlimen, Kota Tinggi, Pengerang dan Bukit Mas, di samping satu kerusi DUN, Penawar (Johor). Sungguhpun Pas menang satu kerusi tak bertanding iaitu Senggarang, ianya disebabkan kesilapan teknikal sahaja, bukan kelemahan lawan.

Dalam PRU12, yang disebut sebagai tsunami politik 2008, di mana BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen serta kekalahan 5 buah kerajaan negeri. Pengalaman dan pencapaian paling perit BN dalam 12 siri pilihan raya di negara kita, menyaksikan politik pilihan raya di Malaysia terdedah kepada serba kemungkinan.

Sungguhpun, gambaran awal, pada hari penamaan calon, Johor, Sabah dan Sarawak yang disebut sebagai fixed deposit BN secara tradisinya memberi kemenangan tanpa bertanding. Awal-awal lagi BN sudah dapat 8 kerusi Parlimen: Pengerang (Johor), Pensiangan dan Kalabakan (Sabah), Tanjong Manis, Igan, Kanowit, Selangau dan Kapit (Sarawak).

Secara perbandingan dengan PRU12, bagi negeri-negeri di Semenanjung, kecuali Terengganu, Kelantan dan Perlis, undi BN telah merosot, secara puratanya -12.90%. Sungguhpun Johor yang rekod pencapaian BN paling cemerlang berbanding negeri lain, undi BN telah merosot -12.39%. Dari 56 kerusi DUN Johor, undi BN hanya meningkat di 6 kerusi sahaja.

Dari paparan di atas, Johor, Sabah dan Sarawak telah memberi saham terbesar di atas kejayaan BN, sejak sekian lama. Jika trend 2008 berterusan, mampukan simpanan tetap BN ini akan terus berfungsi dengan aktif. Tambahan pula, berbeza dengan PRU10, PRU12 memperlihatkan peranan kawasan campuran yang mampu mengubah senario dan lanskap politik tanah air.

Perubahan sikap pengundi, sebagaimana dipamirkan dalam 16 pilihan raya kecil selepas PRU12 dan Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun lepas, memberi peluang terbuka sama ada BN akan terus memerintah atau Pakatan Rakyat akan ambil alih pula, selepas PRU13 nanti. Sebelum PRU12, sebelum PRU, orang suka boleh jangka pihak mana yang akan bentuk kerajaan, sebab kerajaan tak pernah bertukar tangan. Sesuatu yang mustahil, parti pemerintah Kerajaan Pusat akan kalah dalam PRU.

Percubaan sudah dilakukan dalam PRU12, kesannya ada, serba kemungkinan akan berlaku. Bukan sesuatu yang mengejutkan, andainya kerajaan bertukar tangan, kerana asasnya ada dan munasabah.

Artikel ini disiarkan di blog MOHD ZAIN MAHMOOD pada Selasa, 3 Julai 2012
FAKTOR SIMPANAN TETAP BN DALAM PRU13

2 ulasan:

  1. Tq . Isi maklumat berguna,sejarah yng dlm artikel ini amat berguna dan sukar diperolehi.bagi yng mls baca tak akan ada nilai bagi mereka

    BalasPadam