Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan

Khamis, 6 Julai 2017

Saleem IKLIM Masuk Hospital

by on 4:01:00 PG
SELEPAS dunia hiburan dikejutkan dengan berita penyanyi Mus daripada kumpulan May yang kini berada dalam keadaan koma, seorang lagi penyanyi legenda iaitu Saleem dilaporkan kini berada di hospital.

Isterinya, Juriah Bachok atau lebih mesra disapa Julia ketika dihubungi mStar Online memberitahu Saleem dimasukkan ke sebuah hospital di ibu negara malam Selasa akibat demam panas.

Saleem sepatutnya menjalani pembedahan pada Khamis.
Jelas Julia, penyanyi kumpulan Iklim itu mengalami demam hampir sebulan lalu namun keadaannya semakin teruk sejak dua hari lalu sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
"Sebenarnya dia sudah mengalami demam sejak sebulan tetapi sekejap baik dan kemudian demam kembali.

"Dia gagahkan diri sebenarnya namun semalam (Selasa) keadaannya semakin teruk dan suhu badannya meningkat sehingga 40 darjah celcius dan saya terus bawanya ke hospital," katanya.
Dalam pada itu, Julia berkata, Saleem sepatutnya melakukan pembedahan bagi membuang ketumbuhan di bahagian testis pada Khamis namun ia terpaksa ditangguhkan kerana demam dialaminya.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada keadaan Saleem itu berpunca daripada ketumbuhan itu dan pihak doktor telah pun melakukan beberapa ujian bagi mengetahui keadaan sebenar.

"Setakat ini doktor masih belum tahu punca sebenar kenapa dia demam panas yang berlarutan atau sama ada ia ada kaitan dengan ketumbuhan di alaminya.

"Harap peminat-peminat dapat mendoakan kesihatan suami saya agar kembali pulih seperti sedia kala," katanya.-mStar


Selasa, 3 Mei 2016

Isu Bertumbuk, Fattah Amin Maafkan Mulut Celupar Aman Nassim

by on 10:04:00 PTG
PETALING JAYA: Fattah Amin sudah memaafkan pelakon baharu Aman Nassim kerana keceluparan mulutnya sehingga membuatkan dia nyarisr menumbuk lelaki itu ketika di lokasi penggambaran.


Fattah, 26, berkata, dia enggan membesarkan lagi cerita tersebut dan menganggap ia sebagai satu pengajaran kepada pelakon baharu berkenaan.

"Kes itu sudah selesai dan dia pun sudah memohon maaf dengan saya, saya faham dia manusia biasa dan kadang-kadang terlepas cakap secara tidak sengaja.

"Ia bukan kerana saya yang bersikap tidak boleh bergurau, cuma dia mecelah pada masa yang tidak sesuai," ujarnya kepada mStar Online.

Fattah berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan kontroversi kononnya dia hampir-hampir menumbuk pelakon Aman Nassin di sebuah set penggambaran drama baru-baru ini.

Aman dilaporkan bertanya soalan yang tidak patut menyentuh hubungannya dengan aktres Sherry Ibrahim ketika dia sedang berbual dengan beberapa pelakon dan kru produksi.

Aman bagaimanapun tidak mahu mengulas tentang perkara itu.

Sementara itu, dalam perkembangan kerjaya, Fattah berkata, dia kini sedang membuat persiapan untuk memulakan penggambaran filem pertamanya bersama produksi Skop Productions.

Katanya, dia kini berehat beberapa minggu bagi mempersiapkan diri secara mental dan fizikal sebelum penggambaran bermula.

"Saya berehat daripada penggambaran drama untuk persiapan filem pertama saya arahan Shafik Yusof yang bakal bermula Mei ini.

"Saya cuba bina dan tambah berat badan untuk watak dalam filem ini. Selain itu filem bergenre aksi memerlukan saya untuk membuat latihan asas mempertahankan diri," ujarnya.

Jumaat, 15 April 2016

Karya 12 Projek Gabungan Pelajar & Pengarah

by on 6:05:00 PTG
KUALA LUMPUR: Seramai enam pengarah drama dan filem terkenal tanah air berkolaborasi dengan enam orang penuntut jurusan seni filem dalam menghasilkan filem televisyen menerusi kempen Karya 12.

Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, menerusi Karya 12, enam penuntut yang terpilih diberi peluang untuk menghasilkan karya masing-masing dengan bantuan daripada pengarah berpengalaman.

"Inisiatif ini adalah kali pertama diperkenalkan oleh Astro bertujuan untuk mencetuskan anjakan baharu kepada industri perfileman yang dilihat semakin kompetitif dan berdaya saing.

"Ia platform untuk graduan seni filem untuk tampil mencurahkan idea masing-masing dengan bantuan pengarah terkenal yang bertindak sebagai mentor mereka," katanya kepada mStar Online.

Khairul Anwar berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra-tonton dan sidang media Karya 12 di GSC Pavillion di sini, Khamis.

Enam pengarah yang terlibat dalam projek berkenaan adalah Yusry Abdul Halim, Osman Ali, Sabri Yunus, Bernard Chauly, Michael Ang dan Ghaz Abu Bakar.

Kesemua 12 karya yang dihasilkan akan disiarkan pada setiap Sabtu bermula 30 April ini pukul 10 malam di Astro Citra (131) dan Mustika HD (134).

Dalam pada itu, Khairul Anwar berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan beberapa institut pengajian tinggi tempatan yang menawarkan kursus seni filem untuk mencari bakat yang mampu diketengahkan dan menyertai Karya 12.

Katanya, pencarian tersebut bermula sejak November tahun lalu dan menerusi beberapa proses saringan enam karya telah dipilih berdasarkan potensi untuk difilemkan dan disiarkan.

"Karya tersebut dipilih oleh enam pengarah terlibat dan mereka bertanggungjawab untuk membantu pelajar mengolah kandungan penceritaan dan skrip.

"Malah kami turut memberikan peruntukan kewangan bagi membolehkan mereka membiayai projek yang bakal dihasilkan," katanya.

Malah kata Khairul Anwar, projek berkenaan turut dibintangi oleh pelakon terkenal seperti Pekin Ibrahim, Nora Danish, Fizz Fairuz, Kamal Adli, Remy Ishak, Fathia Latiff, Bront Palarae, Tya Ariffin dan Beto Kusyairy.

Dalam perkembangan sama, Khairul Anwar berkata, selain enam projek pelajar berkenaan, pengarah terlibat turut menghasilkan filem televisyen mereka sendiri yang turut ditayangkan menerusi slot sama.

'Lu Mafia Gua Gangster' Filem Untuk Individu Tertekan

by on 6:01:00 PTG
PETALING JAYA: Pengarah filem Krishna Roy memberitahu filem Lu Mafia Gua Gangster merupakan filem genre komedi yang dihasilkan khusus untuk menghiburkan orang ramai yang kebanyakannya berada dalam tekanan.

Roy berkata, filem yang dibintangi kumpulan pelawak Zero itu juga tidak mempunyai mesej tertentu sebaliknya mempunyai jalan cerita yang sarat unsur lawak yang mampu membuat penonton terhibur.

"Saya lihat zaman sekarang ramai orang yang berada dalam tekanan, jadi saya fikir untuk hasilkan sebuh filem yang beri orang gembira dan lupakan masalah mereka.

"Bila masuk panggung mereka hanya ketawa tidak perlu tertekan dengan jalan cerita yang berat," ujarnya kepada mStar Online.

Roy berkata demikian ketika ditemui pada sidang media filem Lu Mafia Gua Gangster yang diadakan di e@Curve, di sini, malam Rabu.

Tambah Roy, filem ini juga merupakan filem komedi pertama arahannya dan merupakan filem berbahasa Melayu ketiga buat dirinya.

Sebelum ini, dia turut menerbitkan filem Melayu iaitu Apa Tengok-Tengok, Aku Akan Muncul dan Bayangan Cinta.

"Tidak banyak masalah sepanjang proses penggambaran tahun lalu, semuanya berjalan lancar dan pelakon-pelakon juga beri komitmen dengan baik kepada kami.

"Penggambaran kami lakukan di Johor Baru dan Kuala Lumpur semuanya hanya mengambil masa 28 hari sahaja," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang pemilihan Zero berbanding pelawak-pelawak lain, Roy berkata kumpulan lawak itu antara yang terbaik pernah ditonton.
Zero juga kumpulan baharu yang masih boleh dibentuk mengikut aliran cerita yang dikehendakinya.

"Pada awalnya dalam fikiran saya ialah Zizan, namun bila sahaja bukan televisyen saya tertarik dengan lawak-lawak Zero yang tidak dapat dijangka.

"Dari situ kami menghubungi mereka untuk berunding dan selepas itu mereka pula menjuarai program Maharaja Lawak Mega 2014," ujarnya.

Filem yang menelan belanje sebanyak RM1.5 juta ini juga turut dibarisi pelakon popular Datuk Jalaluddin Hassan, Zack Taipan, A Galak, Shira Saad, Zulkifli Ismail, Along Ezyndy, Azlee Senario dan penampilan istimewa Syanie serta Saiful Apek.

Lu Mafia Gua Gangster mengisahkan tentang Atu dan Syaiful yang bekerja di tapak pelupusan sampah milik Sharif di Johor.

Manakala, Jalaluddin dan Zack Taipan adalah gangster besar yang kehilangan sejumlah berlian akibat satu insiden apabila kotak yang menyimpan berlian dihantar ke tempat pembuangan sampah Zero bekerja.

Filem ini akan mula ditayangkan pada 21 April 2016 di seluruh pawagam tanah air.

Sabtu, 9 April 2016

Finalis APO2016: Norjuma Enggan Saman 'Penyamun' Ciplak Tudungnya

by on 9:46:00 PG
PETALING JAYA: Bekas pengacara TV3 iaitu Norjuma Habib Mohamed tidak berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang digelarnya penyamun iaitu mereka yang menciplak rekaan tudungnya.

Norjuma, 36, menganggap menyaman seseorang seperti dilakukan segelintir selebriti hanya akan melambatkan proses perkembangan perniagaannya selain membazirkan masa, tenaga dan kos.

"Saman adalah proses yang melambatkan perjalanan perniagaan sebab dalam proses saman, ia melibatkan banyak pihak.

“Kita mungkin boleh daftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), tapi proses pendakwaan, proses untuk menyatakan bahawa ‘inilah orang yang mencuri hasil kerja kita' adalah proses yang rumit dan menelan kos,” katanya kepada mStar Online.

Norjuma ditemui pada sesi temubual bersama deejay Brian di Suria FM pada Khamis.

Pengasas tudung bawal Aidijuma ini berkata beliau tidak gemar untuk ‘bising-bising’ kerana berpandangan tindakan itu sia-sia apabila aktiviti cetak rompak seolah-olah sudah diakui menjadi satu ‘industri’ di seluruh dunia.

“Saya tak naklah bising-bising, tapi sebenarnya saya bising seorang-seorang. Tak ada sesiapa pun yang nak dengar suara kita dan ambil tindakan secara jujur.

“Saya pernah utarakan perkara ini kepada pihak berkuasa tapi mereka sendiri kata benda ni (cetak rompak) sudah lama berlaku.

“Kalau orang yang kita cerita (masalah) pun cakap macam tu, kenapa kita perlu rendahkan hak kita dengan berbuat bising. Terus bergerak ke hadapan dan buat yang lebih baik,” tegasnya.

Ibu kepada tiga anak ini berkata buat masa ini beliau lebih senang memberi fokus dan menggunakan tenaga yang ada untuk bergerak pantas ke hadapan berbanding ‘melayan’ kegiatan penyamun yang dianggap tidak berpenghujung.

“Daripada kita bazir duit saman mereka, masuk mahkamah, lebih baik kita bazirkan semua tenaga yang ada itu untuk mencari idea-idea dan strategi-strategi baru untuk bangunkan bisnes.

“Pencetak rompak tak boleh lari lebih cepat daripada yang ‘original’. Kita yang mulakan perlumbaan ini jadi kita perlu lebih laju daripada orang yang nak ikut kita dari belakang,” katanya. 
Bagaimanapun Norjuma menegaskan bahawa beliau tetap akan mengambil tindakan undang-undang sebagai jalan terakhir jika keadaan terlalu mendesak dan penciplak bertindak melampau.

Ditanya tentang perasaannya melihat kegiatan ini semakin berleluasa, lulusan Pengurusan Perniagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini menyatakan kekesalan apabila melihat hampir setiap rekaan tudungnya menjadi mangsa cetak rompak dan dikeluarkan semula dalam kuantiti yang banyak setiap tahun.

Namun katanya sebagai ahli perniagaan tulin, beliau terpaksa melihatnya sebagai cabaran dalam dunia perniagaan tudung dan fesyen.

Norjuma berkata beliau pernah menghubungi sendiri penjual dan pihak yang menciplak rekaannya dengan harapan mereka boleh menarik balik perbuatan itu.

Katanya, kebanyakan mereka terdiri daripada orang yang lebih tua tetapi melakukan tindakan tidak matang terhadap idea-idea dan produk generasi muda yang sepatutnya mendapat penghormatan.

Dalam pada itu Norjuma adalah antara finalis Anugerah Pilihan Online (APO2016) yang tersenarai dalam kategori Ikon Niaga Muda Pilihan Online.

APO2016 akan berlangsung pada 30 April ini menerusi TV2.

Mr Os Senang Didampingi, Baik Hati - Rakan Artis

by on 9:38:00 PG
KUALA LUMPUR: "Arwah seorang yang senang didampingi dan sangat baik hati," kata pelakon Farouk Hussain mengenai pelawak terkenal Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Mr Os.

Farouk, 49, yang juga seorang pelawak dan pengacara berkata beliau terkejut apabila menerima berita kematian rakannya itu melalui seorang rakannya.

Katanya kali terakhir beliau bertemu arwah pada tahun lalu ketika menjayakan rancangan Lagenda Pantun.

"Saya mulanya tidak percaya kerana sebelum ini ada yang menyebarkan berita palsu mengenai kematian arwah ... tetapi kali ini betul-betul arwah sudah pergi meninggalkan kita.
"Arwah tidak sombong dan mudah bergaul, saya sangat terkesan dengan kehilangannya," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permata, Sri Gombak Indah dekat sini kira-kira 7 malam ini selepas disembahyangkan di Surau Al-Muhajirin, Kampung Sri Gombak Indah di Batu Caves.

Mr Os, 55, meninggal dunia kira-kira 3 petang tadi di Hospital Selayang akibat kanser paru-paru setelah dimasukkan ke wad pada Isnin lepas.

Pelawak itu memulakan kerjayanya sebagai pelakon pada tahun 1986 menerusi filem Balik Kampung.

Antara drama dan filem yang dibintanginya termasuk Adik; O.K (Orang Kampung Otak Kimia); Cikgu Romantik dan Senario The Movie Ops Pocot.
Anak jati Perak itu juga pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik sebanyak dua kali di Festival Filem Malaysia (FFM) iaitu menerusi filem Mr. Os (1987) dan Ghazal Untuk Rabiah (1997).

Allahyarham menerusi gandingannya dengan Abon (Sharizan Ahmad) dalam kumpulan 'Osbon' pula berjaya menjuarai pertandingan Maharaja Lawak Mega pada 30 Disember 2011.

Minyak Wangi Ilham Achey Laris Dijual

by on 9:35:00 PG
PETALING JAYA: Pelawak Achey memberitahu setelah dua tahun menghentikan operasi menjual pewangi kenderaan bawah jenama Achey Perfume berikutan pelbagai masalah, dia kini kembali aktif semula dengan perniagaan tersebut.

Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah,30, berkata, dalam tempoh itu dia banyak belajar daripada kesilapan dan mengkaji sendiri proses pembuatan tersebut tanpa menggunakan khidmat mana-mana orang tengah.

"Saya dah mula bisnes minyak wangi ini sejak dua tahun lalu, namun ketika itu saya berhadapan dengan banyak masalah dari segi produksi dan ejen yang menjualnya.

"Saya berhenti sekejap dan dalam masa itu saya belajar untuk buat sendiri produksi minyak wangi itu tanpa memberi kepercayaan pada orang ketiga dan sekarang saya lebih yakin untuk memulakan bisnes itu kembali," ujarnya kepada mStar Online.

Achey berkata, dia melakukan kerja-kerja produksi minyak wangi itu dengan sendiri di rumah sahaja.

Katanya, setiap hari selepas selesai kerja dia akan melakukan kerja-kerja tersebut sedikit demi sedikit bagi memenuhi permintaan.

"Saya tempah pelekat sendiri, bancuh wangian dan masukan wangian itu ke dalam botol sendiri. Bagi saya ia kerja mudah sahaja dan jika buat sendiri boleh jimat kos orang tengah.

"Saya buat sikit-sikit, kalau sehari sebelum pergi kerja saya buat sikit dan balik kerja saya buat lagi sikit. Isteri saya pun begitu," ujarnya.

Katanya, setakat ini dia sudah pun mempunyai beberapa stokis yang membekalkan minyak wangi tersebut di beberapa negeri.

Walaupun, pengeluaran tidak terlalu banyak, namun dia berpuas hati dapat mengawal sendiri kualiti terhadap kesemua minyak wangi itu.

Sementara itu, Achey berkata, bisnes minyak wangi yang dijalankan itu sebagai langkah permulaan untuk dia mencari pendapatan sampingan selain kerjaya sebagai pelawak.

Dia juga mempunyai beberapa perniagaan makanan yang diletakkan dibawah nama lain dan enggan diberitahu kepada umum.

"Saya sedar sampai bila sahaja ingin jadi pelawak, jadi saya mula bisnes sikit-sikit yang boleh jadi sumber pendapatan sampingan. Selain minyak wangi saya ada jual beberapa produk makanan tapi saya tidak letak nama Achey.

"Saya mahu orang beli produk itu kerana rasa produk itu sendiri dan bukan sebab populariti saya," ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita tentang pengalaman menjual minyak wangi itu, Achey memberitahu terpaksa menandatangani lebih 800 botol minyak wangi selepas pesanan pelekat untuk minyak wangi tersebut gagal disiapkan untuk dijual di sebuah karnival di Melaka, minggu lalu.

Bagaimanapun, Achey berkata, disebabkan kelainan tersebut, minyak wangi berkenaan habis dijual kerana tanda tangannya.

"Ketika itu saya terlibat dengan karnival jualan tapi menghadapi masalah pelekat yang sempat siap pada hari berkenaan. Jadi malam sebelum karnival itu saya terpaksa tanda tangan semua botol minyak wangi itu berjumlah hampir 800 botol.

"Alhamdulillah, tidak sangka banyak sambutan dan ramai pula sekarang yang buat permintaan untuk tanda tangan Abam dengan Fad pula," ujarnya.

Rabu, 23 Mac 2016

Syomirizwa Gupta Lancar Koleksi Cruise dan Raya

by on 11:44:00 PG
Mengambil inspirasi dari Frida Kahlo, percikan rona terang menjadi nadi koleksi Cruise 2016 Syomirizwa Gupta. Nilai artistik Kahlo yang penuh ekspresi tersendiri diterapkan dalam koleksi yang bakal dilancarkan pada Julai ini. Gaya klasik diberi sentuhan berbeza menerusi penggunaan rona menangkap mata serta padanan helaian cetakan.


Koleksi Raya Luxe 2016
Syomirizwa Gupta memberi penghormatan kepada wanita Kuala Lumpur yang punya citarasa mewah dalam gaya menerusi koleksi Eid Luxe ini. Hadir dalam rona gelap, setiap helaian mencerminkan personaliti hebat si pemakai. Gaya keanggunan serta kekuatan wanita ditonjolkan, memberi pesona luar biasa pada Rich Housewives of Kuala Lumpur.


Hollywood Kuasai Baris Hadapan Michael Kors

by on 11:34:00 PG
Pentas musim luruh 2016 Michael Kors sarat dengan kehadiran selebriti yang duduk di barisan hadapan. Dari Blake Lively hingga ke Jennifer Hudson, lihat galeri gambar di bawah.

Gambar: Getty Images untuk Michael Kors
Riley Keough, Blake Lively

Seorang Penghibur, Tidak Pentingkan Populariti Lagu

by on 9:36:00 PG

JAYA: Penyanui Amelina berkata, pihak yang mempertikaikan populariti lagu baharunya iaitu Cinta Itu Seksi seharusnya dapat membezakan peranan antara seorang penyanyi atau penghibur.

Amelina atau nama sebenarnya, Nurazlina Amir Sharifuddin, 42, berkata, dia yang melihat dirinya sebagai seorang penghibur tidak terlalu mementingkan populariti sesebuah lagu.

"Orang yang sering tanya tentang produk saya itu kerana mereka tidak faham, saya meletakkan diri saya sebagai seorang penghibur bukan hanya seorang penyanyi.

"Sebagai penghibur apa yang penting ialah saya ada produk dan lagu baharu.

"Penyanyi perlu mempunyai suara yang sedap dan lagu yang bagus, tapi bagi saya pula, peminat lebih gemar melihat saya ketika membuat persembahan berbanding mendengar lagu saya," ujarnya.

Amelina diminta mengulas tanggapan segelintir pihak yang mempertikaikan lagu baharunya berjudul Cinta Harus Seksi yang masih tidak mendapat perhatian.

Dia ditemui pada majlis memperkenalkan duta produk D'Herbs yang diadakan di Hotel One World, di sini pada Selasa.

Tambah Amelina, dia lebih mementingkan kualiti persembahannya di pentas berbanding memikirkan populariti lagu tersebut.

"Ia terpulang kepada bakat, ada orang dikurniakan bakat suara yang mana orang dengar lagu dia sebab nak dengar suara sahaja," ujarnya.

Semantara itu, Amelina yang dilantik sebagai duta pewarna rambut D'Herbs memberitahu dia sememangnya seorang yang mementingkan penjagaan rambut.

Katanya, sejak kembali semula ke dunia hiburan, dia sentiasa memastikan penampilan rambutnya berubah dan segar.

"Saya tidak sangka ditawarkan menjadi produk pewarna rambut ini, ia bermakna ada pihak yang sentiasa memerhatikan penampilan kita sebagai artis.

"Saya pula memang fanatik sedikit tentang rambut dan sejak dari dulu memang imejnya berubah-ubah supaya orang tidak bosan," ujarnya.

Dalam pada itu, pengasas produk D'herbs iaitu Datuk Aliff Syukri berkata, pemilihan Amelina dilihat berdasarkan penampilan penyanyi itu yang sesuai dengan produk berkenaan.
"Kami pilih Amelina kerana melihat aura dan penampilannya yang sentiasa segar dan mempunyai rambut yang sihat.

"Dia juga pandai menjaga penampilannya untuk sentiasa nampak bergaya sejak kembali semula aktif di dunia hiburan," ujarnya.