Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan

Khamis, 6 Julai 2017

Tiga Pemain Kembali, Nidzam Lega

by on 10:41:00 PG
KEDAH bakal mendapatkan kembali kekuatan sebenarnya apabila turun berdepan pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM FC) pada Jumaat ini.
Ketua Jurulatihnya, Mohd Nodzam Adzha Yusoff berkata, tiga pemain yang mengalami kecederaan sebelum ini dijangka dapat diturunkan dalam perlawanan itu.
Kedah kehilangan tiga tonggak utama termasuk dua import dalam dua perlawanan sebelum ini kerana mengalami kecederaan.
Mereka ialah Zachary Anderson, Ken Ilso Larsen dan Rizal Ghazali, manakala Baddrol Baktiar telah kembali dalam perlawanan Sabtu lalu.
Menurut Nidzam, sebagai jurulatih, dia lega apabila tiga pemain berkenaan pulih daripada kecederaan kerana khidmat mereka diperlukan oleh skuad hijau kuning.
"Sebelum ini saya memang pening sikit, tapi untuk perlawanan bertemu UiTM saya rasa lega sebab tiga pemain yang cedera dah pulih.
"Kalau tak ada apa, Ken Ilso, Zachary dan Rizal boleh diturunkan semula dalam perlawanan Jumaat ini. Kehadiran mereka dapat membantu kita melakukan yang lebih baik," katanya kepada mStar Online.
Nidzam menambah, setakat ini, hanya Farhan Roslan yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan memerlukan rehat.
"Dalam keadaan sekarang kita memerlukan semua pemain untuk menampung posisi pemain yang cedera.
"Sebab itu, kalau boleh kita tak mahu hilang empat pemain yang akan terlibat dalam Sukan SEA," jelasnya.


Dua Bekas Pemain Import Pulau Pinang Dakwa Digantung Tak Berta

by on 3:52:00 PG
PASUKAN tercorot Liga Super, Pulau Pinang dihambat kontroversi apabila dua bekas pemain importnya mendakwa masih belum menerima sebarang tunggakan gaji pada bulan Mei dan Jun.
Salah seorang pemain berkenaan terbabit ketika dihubungi melahirkan kekecewaan kerana sehingga kini masih belum dihubungi oleh Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang ( FAP) termasuk berbincang mengenai isu pampasan.
Hanya dilepaskan begitu sahaja tanpa sebarang hitam putih penamatan kontrak, pemain tersebut tertanya-tanya apakah status sebenarnya dia dengan Pulau Pinang sehingga hari ini.
"Saya masih bersabar dalam hal ini menanti jawapan FAP, saya boleh terima secara profesional mengapa saya dilepaskan tetapi mereka juga kena profesional dalam hal ini.
"Kontrak saya masih ada sehingga November ini tetapi selepas mereka maklumkan saya akan ambil import baharu, mereka mendiamkam dirit tiap kali saya ajukan soalan bila saya akan dipanggil untuk lakukan perbincangan soal pampasan.
"Sejak Mei lalu, saya belum terima gaji dan kini telah masuk dua bulan. Buat masa ini(keluarga) tengah bertahan dengan simpanan yang saya ada," katanya.
Bagi memastikan haknya terjamin, dia tidak teragak-agak akan membawa perkara itu ke Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) dalam masa terdekat.
Pemain import tersebut juga seakan tiada pilihan lain ekoran sudah berikan masa sebulan kepada FAP namun tiada sebarang maklum balas.
"Saya akan mengadu kepada Presiden PFAM (Izham Ismail) mengenai hal ini dan harap akan ada jalan penyelesaian.
"Kalau ikutkan saya tidak mahu lagi mengeruhkan keadaan dan mahu jaga hubungan baik dengan FAP tetapi ini sahaja jalan yang tinggal buat saya," katanya.
Tiga pemain import yang sebelum ini digugurkan Pulau Pinang pada pertengahan musim adalah Diogo Ferreira, Andrew Russell dan Reinaldo Lobo.


Selasa, 4 Julai 2017

Bintang Lyon Selangkah Ke Arsenal

by on 11:06:00 PTG
BINTANG Lyon kini dilaporkan berada di London dan akan diumumkan sebagai pemain Arsenal dalam tempoh 48 jam lagi.
Alexxandre Lacazette sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di padang latihan London Colney pada Selasa.
Nilai perpindahan Lacazette dari Lyon dilaporkan mencecah 44 juta pound sterling.
Malah jumlah itu dijangka mengatasi rekod yang dicipta Arsenal yang membelanjakan sekitar 42.5 juta pound sterling semasa membeli Mesut Ozil pada 2013.
Arsenal pernah cuba memancing khdimat pemain berusia 26 tahun itu setahun yang lalu tetapi bidaan tersebut ditolak sebelum pemilik Lyon, Jean-Michel Aulas bersetuju melepaskannya pada musim panas ini.
"Perpindahan itu dijangka sekitar 43.8 juta pound sterling. Menghampiri jumlah 50 juta pound sterling adalah sesuatu yang unik dan akan menjadi rekod untuk Arsenal dan juga Lyon," kata Aulas.
Lacazette memulakan kariernya bersama Lyon dengan menjaringkan sebanyak 129 gol dalam 275 perlawanan.
Pada musim lalu, dia menjaringkan 37 gol dalam 45 penampilan bersama pasukannya.

Read more at http://www.mstar.com.my/sukan/bola-sepak/2017/07/04/bintang-lyon-arsenal/#brpJZRD2c82ehLtg.99

Isnin, 6 Februari 2017

Annuar Musa Sah Bertanding Merebut Kerusi FAM

by on 4:43:00 PTG

Ketua Penerangan Umno negara Annuar Musa sah bertanding merebut kerusi Presiden FAM,pengesahan ini dibuat oleh beliau di akaun Facebooknya pada 6/2/2017 bersamaan Isnin.

Allahmdulillah,itulah yang diharapkan peminat bola sepak negara khasnya dari negeri Kelantan yang sentiasa menyokong sukan popular tanah air,

sebelum ini dikatakan mereka yang layak untuk merebut kerusi FAMialah Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, 33; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, 41; bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, 61 dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat, 66.

Setakat ini Annuar Musa merupakan calon pertama yang telah menyerahkan borang menerima pencalonan tersebut.

Manakala, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam satu kenyataan pagi tadi telah memberi lampu hijau kepada anakandanya, Tunku Ismail disenarai sebagai calon bagi merebut kerusi Presiden FAM.

Sultan Ibrahim berkata demikian setelah mengadakan pertemuan selama sejam bersama Timbalan Presiden Bolasepak Melaka, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi yang mewakili 14 gabungan FAM antaranya Perak, Kelantan, Perak dan Selangor.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin pula berkata akan membuat keputusan dalam masa terdekat sama ada bertanding atau tidak untuk merebut kerusi No.1 itu.

Menteri Belia dan Sukan, itu berkata, beliau akan membuat keputusan mengenainya selepas berjumpa dengan pihak yang mencalonkan nama beliau untuk merebut jawatan tertinggi dalam badan induk bola sepak negara itu.

Katanya, tujuan beliau untuk berjumpa pihak berkenaan adalah untuk mengetahui sebab mereka mencalonkan namanya untuk bertanding bagi menggantikan tempat Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada bulan depan.

Annuar Musa dijangka akan memberi saingan sengit kepada calon lain  manakala keputusannya ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia terutamanya peminat bola sepak tanah air.

Deberitakan,Annuar Musa tidak bermasalah untuk mendapat 11 undi mudah namun begitu sejau mana khabar itu benar sama-samalah kita tunggu.

Kiranya Annuar Musa menang dalam perebutan kerusi FAM bermaknanya khabar ini adalah benar.

Selasa, 3 Mei 2016

FMLLP Cadang FAM Ambil Tindakan Tegas Ke Atas Kafa

by on 9:59:00 PTG
PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berdepan penyingkiran daripada Liga Malaysia seandainya gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada lima bekas pemainnya.

Itu adalah tindakan terakhir yang dicadangkan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jika KAFA terus berdegil menyelesaikan isu tunggakan gaji itu.

Sebagai permulaan, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata pihaknya mencadangkan kepada badan induk itu untuk melakukan pemotongan mata kepada Kafa sekiranya mereka gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada bekas pemainnya sebelum 31 Mei ini.

Beliau menegaskan pihaknya tidak boleh mengenakan tindakan ke atas Kafa memandangkan beberapa perkara masih tertakluk di bawah bidang kuasa FAM iaitu gaji pemain, kontrak dan tindakan tatatertib.

FMLLP ialah entiti swasta yang menguruskan Liga Malaysia bermula musim ini.

"Kita harus bekerjasama dengan FAM untuk memberikan maklum balas atau cadangan berhubung tindakan susulan ke atas KAFA.

"Sekiranya mereka (Kafa) masih gagal menjelaskan hutang berkenaan, kita akan cadangkan kepada FAM agar pasukan terlibat diturunkan beraksi ke Liga Perdana atau lebih teruk lagi disingkirkan daripada Liga Malaysia," katanya.

Kevin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA 2016 di Wisma FAM, Kelana Jaya,di sini, Selasa.

"Sekiranya tidak ada tindakan tegas diambil ke atas pasukan yang terlibat, tiada perubahan ketara yang kita boleh saksikan dalam liga kita...Kami (FMLLP) berada di sini untuk membuat pembaharuan (dalam bola sepak Malaysia) tapi pada masa sama, kami turut memerlukan kerjasama daripada pihak lain," tegas Kevin.

Presiden Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail dalam kenyataan media mendakwa lima bekas pemain Kelantan masih belum menerima baki tunggakan gaji mereka yang sepatutnya dijelaskan Kafa pada 15 April lepas.

Beliau turut dipetik sebagai berkata pihaknya telah menghantar surat aduan berhubung perkara berkenaan kepada FAM dan berharap badan induk berkenaan dapat mengambil tindakan susulan terhadap Kafa.

Difahamkan, lima bekas pemain Kelantan yang belum menerima tunggakan gaji adalah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar yang menamatkan kontrak mereka bersama Kafa untuk menyertai pasukan lain musim ini.

Dalam perkembangan berasingan, Kevin menasihatkan pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia untuk tidak mengharapkan geran semata-mata daripada FMLLP untuk menguruskan skuad mereka.

Jelasnya, pasukan terlibat juga harus mempunyai inisiatif sendiri untuk menjana pendapatan pasukan termasuk mengkomersialkan produk pasukan.

Mengambil contoh pasukan dalam saingan Liga Jepun, Kevin berkata setiap pasukan dalam liga berkenaan hanya diberikan sebanyak empat peratus daripada geran yang sepatutnya diperoleh untuk perbelanjaan skuad berkenaan.

"Sekarang ini, ada pasukan mendakwa pendapatan utama sepatutnya datang daripada Liga (Malaysia) tapi ia tidak benar.

"Beberapa pasukan di negara seperti Jepun dan Korea Selatan tidak mengharapkan geran semata-mata untuk menguruskan pasukan kerana sedar pendapatan daripada liga tidak mencukupi,"tegas Kevin. -Bernama

Sabtu, 9 April 2016

GP Amerika: Khairul Idham Tamatkan Latihan Di Tempat Ke-21

by on 9:32:00 PG
PELUMBA muda sensasi negara, Khairul Idham Pawi sekadar menduduki tempat ke-21 pada sesi latihan bebas Grand Prix (GP) Amerika Syarikat, awal pagi Sabtu.

Khairul Idham yang mencipta kejutan menjuarai Moto3 GP Argentina minggu lalu mencatat kepantasan 2 minit 18.361 saat (s) pada sesi latihan bebas kedua di Litar Americas, Austin, Texas.

Rekod masa itu lebih baik berbanding sesi latihan pertama apabila anak kelahiran Batu Gajah, Perak yang beraksi bersama Honda Team Asia sekadar menduduki tempat ke-24 dengan kepantasan 2'20.903s.

Seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin yang beraksi bersama Drive M7 SIC Racing Team menduduki tempat ke-29 pada sesi latihan pertama dengan catatan 2'21.574s.

Namun Adam memperbaiki kedudukan itu di tangga ke-24 pada sesi latihan bebas kedua dengan kepantasan 2'18.681s.

Pelumba Perancis Fabio Quartararo dari pasukan Leopard Racing KTM paling terpantas apabila mencatat kepantasan 2'16.250s pada sesi latihan kedua.

Sementara itu, pelumba Sepanyol Jorge Navarro dari pasukan Estrella Galicia mengungguli sesi latihan pertama dengan kepantasan 2'17.433s.

Khamis, 7 April 2016

Polis Switzerland Serbu Pejabat UEFA, Cari Dokumen Kontrak

by on 7:50:00 PTG
POLIS Switzerland menyerbu ibu pejabat Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) untuk mengumpul maklumat mengenai kontrak yang ditandatangani Gianni Infantino yang kini menerajui Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), lapor Panama Papers.

Menurut Pejabat Guam Negara Switzerland (OAG), pencarian itu adalah sebahagian daripada prosiding jenayah berterusan yang dilancarkan kerana timbul rasa sangsi berhubung wujudnya salah urus jenayah dan penyelewengan.

"Prosiding jenayah OAG adalah berkaitan dengan pengambilalihan hak penyiaran dan pada masa ini ditujukan kepada individu tidak dikenali yang bermaksud buat masa ini tiada individu tertentu yang menjadi sasaran dalam prosiding ini," katanya.

Pada Selasa, media melaporkan bahawa UEFA menjual hak penyiaran aksi Liga Juara-Juara (2006-2009) kepada seorang ahli perniagaan Argentina, Hugo dan Mariano Jinkis, pemilik Cross Trading.

Kedua-dua individu tersebut didakwa menjual semula hak penyiaran itu kepada stesen televisyen Teleamazonas yang berpangkalan di Ecuador dengan harga tiga kali ganda walaupun UEFA menegaskan mereka tidak tahu mengenai perjanjian tersebut.

UEFA mengesahkan Infantino yang bekerja dengan UEFA pada ketika itu merupakan salah seorang daripada dua pegawainya yang menandatangani kontrak tersebut.

UEFA menafikan mereka terlibat dalam sebarang salah laku.

"UEFA boleh mengesahkan pada hari ini kami menerima kunjungan daripada polis Switzerland yang bertindak atas waran dan meminta salinan kontrak antara UEFA dan Cross Trading/Teleamazonas," kata UEFA dalam satu kenyataan.

Hugo dan Mariano Jinkis merupakan antara beberapa pegawai bola sepak yang didakwa di Amerika Syarikat kerana terlibat dengan skandal rasuah pada tahun lalu.

Infantino pula dilantik sebagai Presiden FIFA pada Februari dan berazam membawa persekutuan itu bebas daripada sebarang skandal mahupun penyelewengan.

-mStar

Rabu, 6 April 2016

Penganjur 'Tour Of Sarawak' berdepan hukuman berat

by on 6:41:00 PTG
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta agar Pejabat Pesuruhjaya Sukan menyemak bentuk tindakan dalam Akta Pembangunan Sukan yang boleh dikenakan ke atas penganjur perlumbaan berbasikal Tour of Sarawak (ToS) 2016 yang membatalkan kejohanan tersebut pada saat-saat akhir.

Katanya, tindakan penganjur itu amat memalukan dan dalam masa sama mencalarkan imej Malaysia dalam penganjuran sukan peringkat antarabangsa.

Tambahnya, syarikat dan individu yang bertanggungjawab dalam penganjuran tersebut akan disenarai hitam sekali gus tidak layak memohon lesen penganjuran sesuatu kejohanan.

“Ini menunjukkan penganjur tidak bersedia dan tidak mempunyai pembiayaan yang cukup, dan yang penting kita mahu memastikan perkara ini tidak berulang dengan meminta Pejabat Pesuruhjaya Sukan mengambil tindakan sewajarnya.

“Ini juga adalah untuk memastikan penganjur lain sedar bahawa Pejabat Pesuruhjaya Sukan tidak memandang ringan terhadap sesuatu penganjuran yang tidak berjaya dan penganjur yang tidak memenuhi janji kepada peserta dan kerajaan apabila memohon lesen,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Anugerah Cemerlang 2015 Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini semalam.

ToS yang sepatutnya berlangsung pada 16 hingga 20 Mac bermula dari Miri dan berakhir di Kuching, merupakan anjuran Fadz Industries Sdn. Bhd. serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) de­ngan kerjasama kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pemba­ngunan Sosial dan Kementerian Pelancongan.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata beliau tertarik dengan cadangan Majlis Para­limpik Malaysia (MPC) untuk menggabungkan Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 pada Ogos tahun hadapan.

Katanya, cadangan tersebut dilihat mempunyai kelebihan tersendiri selain unik dan jika dilaksanakan akan menjadi yang pertama kali dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, cadangan tersebut harus diperhalusi oleh Sekretariat Sukan SEA yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zolkples Embong.

“Secara peribadinya saya amat tertarik dengan cada­ngan tersebut dan percaya ada kelebihan dari segi semangat kesukanan.

“Menggabungkan dua temasya yang sama dan meraikan pada masa sama adalah sesuatu yang kali pertama dalam sejarah jika diadakan, malah dapat membantu kita dari segi pengurusan kos,” katanya

- Utusan Online

Jurulatih P.Pinang Direhatkan Selepas Tewas

by on 6:12:00 PTG
GEORGE TOWN: Jacksen F Tiago menjadi jurulatih Liga Super terbaru 'direhatkan' selepas skuad bimbingannya, Pulau Pinang tampil hambar ketika tewas 1-2 kepada Sarawak di gelanggang sendiri Selasa malam.

Tugas bekas pengendali skuad kebangsaan Indonesia itu kini diambil alih oleh Manzoor Azwira Abd Wahid berkuat kuasa serta-merta.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff berkata keputusan itu dibuat pengurusan tertinggi FAP dalam mesyuarat tergempar pagi Rabu.

Beliau berkata mesyuarat juga sebulat suara bersetuju menerima peletakan jawatan Laurence Loh sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pro FAP.

"Di samping itu, pihak pengurusan akan memberi surat amaran kepada pemain yang gagal memberi persembahan yang memuaskan setelah meneliti laporan prestasi pemain dalam perlawanan semalam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tiago, 47, adalah jurulatih kedua menerima nasib sama selepas skuad Terengganu FA turut merehatkan Ahmad Yusof hanya selepas tiga perlawanan, dan tempatnya diambil alih pembantunya, Mike Mulvey.

Nazir Ariff berkata pengurusan pasukan juga akan berjumpa dengan kesemua pemain untuk memastikan sasaran enam terbaik dalam saingan Liga Super 2016 dapat dicapai.

Dalam perlawanan menentang Sarawak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang tewas 1-2 menerusi jaringan minit-minit akhir perlawanan oleh J.Partiban.

Terdahulu kedua-dua pasukan terikat 1-1 dengan Matias Cordoba meletakkan skuad Harimau Kumbang di hadapan pada minit ke-26 sebelum Gilmar Jose da Silva menyamakan kedudukan untuk Sarawak pada minit ke-58.

Susulan kekalahan itu, sekumpulan penyokong skuad Harimau Kumbang berhimpun di luar stadium mendesak peletakan jawatan Tiago.

Selepas enam perlawanan, Pulau Pinang menduduki tangga kesembilan dengan memungut lima mata menerusi satu kemenangan dan seri dua kali.

Sementara itu, Tiago yang ditemui selepas perlawanan malam tadi, masih mempertahanankan anak buahnya dan berkata pemain menunjukkan peningkatan selepas tewas dengan Kelantan 12 Mac lepas. -Bernama

Rabu, 23 Mac 2016

El Nino: Aktiviti Mendaki Boleh Diteruskan Dengan 'Syarat'

by on 10:45:00 PG
Aktiviti mendaki gunung boleh diteruskan ketika negara berdepan cuaca panas, tetapi ia perlu dilakukan dengan ‘bersyarat’.

Presiden Kelab Ekspedisi Global Malaysia (GEC) T Ravichandran berkata kebanyakan gunung atau bukit di negara ini tidak terdedah sepenuhnya kepada pancaran matahari, justeru pendakian boleh dilakukan berbekalkan pengetahuan dan persediaan asas bagi memastikan pendaki tidak terkena strok haba atau risiko kesihatan lain.

Ravichandran pendaki solo negara yang sudah dua kali menawan Everest berkata perkara paling penting yang perlu dilakukan sebelum memulakan pendakian ialah banyak meminum air.

"Ketika mendaki dalam cuaca panas haba akan menyerap air dalam badan dan kita juga akan berpeluh. Pada masa ini cecair dalam badan menjadi begitu penting, sama pentingnya dengan darah dalam badan kita. Air akan menstabilkan tubuh kita.

"Pendaki boleh minum air yang dibawa ketika mendaki, tetapi apa yang lebih penting mereka mesti minum banyak air dua atau tiga hari sebelum mereka mendaki selain mengambil banyak karbohidrat untuk tenaga," katanya kepada mStar Online.

Ravichandran atau lebih mesra disapa sebagai Ravi mengakui gelombang haba dan peningkatan suhu yang berlaku kesan fenomena El Nino dapat dirasai dengan jelas oleh beliau sendiri ketika melakukan beberapa pendakian baru-baru ini.

Sebagai contoh, beliau yang baharu sahaja menawan puncak Gunung Kinabalu buat pada 21 Mac lalu berkata keadaan cuaca di sana adalah lebih panas berbanding pendakiannya sebelum ini di gunung yang sama sebelum ini.

"Walaupun cuaca panas, saya sendiri masih terus mendaki, tetapi kenalah ada pengetahuan dan persiapan rapi tentang gunung yang bakal didaki itu.

"Bagi yang langsung tiada pengetahuan atau pengalaman, saya nasihatkan mereka tangguh dulu perancangan mereka untuk mendaki sehingga cuaca kembali normal," katanya yang lebih 30 kali menawan puncak Kinabalu.

Menurut Ravi, pemilihan gunung atau tempat mendaki juga menjadi faktor penting dalam memastikan pendakian dalam cuaca panas selamat.

Dalam konteks ini, pendaki dinasihatkan memilih gunung ‘bertutup’ dan mempunyai kawasan tadahan air.

Katanya, pendaki juga perlu memulakan pendakian awal pagi dan memendekkan masa ketika berada di puncak gunung kerana kebanyakan puncak tidak mempunyai banyak pokok dan terdedah terus kepada matahari.

"Elakkan berada terlalu lama di kawasan lapang. Kawasan tadahan air pula penting jika pendaki berdepan situasi kehabisan bekalan air," ujarnya.

Katanya, secara keseluruhannya, kebanyakan gunung di Malaysia mempunyai ciri-ciri tersebut, tetapi beliau turut memberi beberapa cadangan gunung yang sesuai seperti Gunung Bunga Buah, Genting Highlands, Gunung Angsi, Kuala Pilah dan Gunung Datuk, Rembau.

"Gunung-gunung ini masih ada kawasan yang dipenuhi pokok-pokok tinggi yang bertindak sebagai ‘payung’ bagi mengelak pendaki terdedah secara langsung dengan matahari.

"Kebanyakan gunung kita masih lagi basah, lembab, berembun dan ‘tertutup’," katanya.

Bagaimanapun, Ravi berkata bagi pendakian Gunung Kinabalu, beberapa langkah keselamatan telah diambil oleh pihak Taman-Taman Sabah termasuklah memastikan pendaki tiba di Sayat-Sayat sebelum pukul 5 pagi, bagi membolehkan mereka meneruskan pendakian ke puncak.

"Pendaki yang lambat tiba di Sayat-Sayat tak akan dibenarkan melepasi pagarnya untuk ke puncak.

"Jika mereka dibenarkan meneruskan pendakian, mereka akan tiba lewat di puncak dan ketika turun mereka terdedah secara langsung kepada matahari selain berdepan refleksi haba batu gunung," katanya.

Katanya, untuk turun dari Laban Rata ke Timpohon, para pendaki disarankan turun lebih awal dan tidak berehat terlalu lama di pondok-pondok yang disediakan kerana ia terdedah kepada pancaran matahari.

Pada Isnin, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan mengeluarkan notis tidak menggalakkan pengunjung melakukan pendakian di Gunung Datuk dan Gunung Angsi buat sementara waktu.

Bagimanapun notis itu bukanlah larangan kepada aktiviti pendakian dan gunung-gunung itu tidak ditutup.

Keputusan ini dibuat setelah dua pendaki meninggal dunia ketika mendaki Gunung Datuk Sabtu lalu.

Chung Kwok Kwong, 54, dari Petaling Jaya, meninggal dunia pada jam 1.05 tengah hari selepas diserang sakit jantung. Muhammad Hannan Kamarzaman, 26, dari Jasin, Melaka, meninggal dunia pada jam 6.30 petang selepas mengadu keletihan.

Pada Ahad, seorang lelaki maut di puncak Gunung Berembun, Cameron Highlands selepas mengalami sesak nafas sebelum tidak sedarkan diri.

Barisan Terbaik Ke Piala Thomas - BAM

by on 10:15:00 PG
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menurunkan barisan terbaik negara ke pusingan akhir Piala Thomas Mei ini, biarpun tumpuan utama adalah Sukan Olimpik yang diadakan tiga bulan selepas itu.

Ini disahkan Pemangku Presiden BAM Tan Sri Mohamed Al-Amin Abd Majid yang sekali gus bererti pasangan veteran, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong berkemungkinan besar akan kembali dalam skuad kebangsaan untuk kejohanan dwitahunan itu.

Menurut Mohamed Al-Amin, senarai muktamad pemain ke Piala Thomas yang akan diadakan di Kunshan, China dari 15-21 Mei akan diketahui akhir bulan depan.

Mohamed Al-Amin berkata beliau telah meminta Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM menilai persembahan pemain negara susulan prestasi hambar sewaktu Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) yang juga pusingan kelayakan Piala Thomas di India, bulan lepas, menyaksikan Malaysia sekadar mara ke suku akhir.

"Kemungkinan besar kita akan letakkan pemain terbaik, namun tumpuan kita pasti lebih kepada persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro," katanya.

Beliau yang juga ketua kontinjen ke Sukan Olimpik Rio berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri perjumpaan bersama pengurus pasukan bagi sukan yang telah melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu, di Wisma OCM di sini, Selasa.

Sebelum ini, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei turut mengharapkan Kien Keat-Boon Heong akan disenaraikan ke Kunshan bagi memperkuatkan cabaran Malaysia yang juga merupakan naib juara edisi 2014.

Sebagai rekod, bagi kempen 2014, hanya Chong Wei dan Boon Heong yang mempunyai pengalaman beraksi dalam Piala Thomas manakala pemain lain baru membuat penampilan pertama di kejohanan itu.

Menyentuh undian Piala Thomas semalam, Mohamed Al-Amin menegaskan BAM masih belum meletakkan sasaran khusus walaupun ramai pihak meramalkan skuad negara mampu sekurang-kurangnya layak ke suku akhir selepas diundi dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, England dan Jerman.

Beliau, bagaimanapun mengakui skuad wanita negara berdepan laluan penuh ranjau selepas diundi bersama juara 13 kali yang juga tuan rumah China, selain Denmark dan Sepanyol, namun mengharapkan pemain muda negara mampu melakukan kejutan.

"Bagi saya, undian Piala Thomas agak bagus cuma saya berharap kita dapat memberikan persembahan terbaik pada kali ini berbanding pusingan kelayakan (BATC di India)," jelas Mohamed Al-Amin.

Malaysia membariskan pemain muda di BATC yang diterajui juara kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli, berikutan pemain senior memberi tumpuan untuk mengejar mata kelayakan ke Sukan Olimpik.


Untuk rekod, Malaysia menjuarai Piala Thomas sebanyak lima kali -- 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992, namun tiada pencapaian membanggakan dalam Piala Uber.

Pengalaman Faktor Utama Welson Layak Ke Olimpik

by on 10:13:00 PG
KUALA LUMPUR: Perenang muda negara, Welson Sim Wee Sheng mengakui kegagalan sebelum ini dijadikan faktor untuk terus bangkit sehingga mencipta rekod terbaik hingga melayakkan dirinya untuk beraksi pada Sukan Olimpik di Rio Ogos ini.

Welson layak secara merit ke pentas Olimpik dalam acara 200 meter dan 400m gaya bebas sekaligus memecah rekod kebangsaan miliknya pada aksi kejohanan Singapore National Age Group yang berakhir pada Ahad.

Menurut perenang berusia 19 tahun kelahiran Sarawak itu, pengalaman lalu menjadikan dia seorang yang lebih bersemangat.

“Sebelum ini saya agak gementar, lebih-lebih lagi ketika beraksi di kejohanan dunia tahun lalu, tetapi itu semua dijadikan pengajaran.

“Saya tahu di mana kesilapan yang dilakukan ketika bertanding, seterusnya cuba ubah dan berfikiran lebih positif.

“Kini saya perlu bijak mengatasi tekanan yang bakal dihadapi menjelang Olimpik nanti,” jelasnya yang mula menyertai pertandingan kompetitif sejak berusia 11 tahun.

Welson menamatkan saingan di tempat pertama dengan catatan 1:47.67 saat, melepasi had kelayakan iaitu 1:47.97s.

Sementara itu, ketua jurulatih kebangsaan Paul Thomas Birmingham berkata, setiap atlet akan merasai kekecewaan dahulu sebelum bangkit mencatatkan kejayaan.

“Dari segi psikologi dia perlu kuat, mungkin beberapa tahun lalu dia agak kecewa dengan prestasinya. Tetapi pengalaman itulah yang membuatkan dia lebih yakin. Tiada apa yang boleh buat kecuali teruskan usaha dan jangan mengalah.

“Mungkin sebelum ini dia gementar tetapi sekarang dia langsung tidak peduli sama ada perenang-perenang lain lebih besar daripadanya.

“Kami akan terus membimbingnya, begitu juga perenang-perenang lain,” jelasnya pada sidang media sebaik sahaja tiba dari Singapura pada Isnin.

Sebelum ini, Malaysia pernah layak ke Sukan Olimpik secara merit menerusi Alex Lim Keng Liat dalam acara 100m gaya kuak lentang di Athens pada 2004.

Selain itu, enam lagi perenang negara masih berpeluang untuk layak ke Olimpik, namun perlu mencatat keputusan terbaik dalam beberapa kejohanan sebelum pengumuman kelayakan yang akan dibuat pada Julai ini.

Baki Dua Hari Latihan Penentu Kesebelasan Utama

by on 9:39:00 PG
Baki latihan selama dua hari bermula esok, bakal menjadi penentu kepada 23 pemain bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan berdepan Arab Saudi di tempat lawan, Khamis ini.

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee berkata walaupun sudah mempunyai bayangan awal kesebelasan utama yang bakal diturunkan, beliau tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan berhubung pemilihan pemain.

Malaysia akan berdepan gergasi Asia Barat itu pada aksi terakhir Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah pada 8.30 malam Khamis waktu tempatan (1.30 pagi Jumaat waktu Malaysia).

"Saya perlu memikirkan setiap posisi di mana ia amat penting dan posisi berkenaan harus mempunyai pemain sokongan. Jika apa-apa berlaku kepada pemain utama saya boleh menurunkan pemain sokongan ini," katanya ketika dihubungi dari Arab Saudi, Selasa.

Dalam pada itu, Kim Swee menjelaskan fokusnya kini lebih terarah kepada memperkukuhkan barisan pertahanan negara memandangkan penyerang Arab Saudi mempunyai rekod jaringan yang baik sama ada di laman sendiri mahupun tempat lawan pada aksi pusingan kelayakan kali ini.

"Kita harus berwaspada terutamanya ketika bertahan namun pada masa yang sama, kita perlu memikirkan cara melakukan serangan balas.

"Bagi saya, tidak kira mana-mana pemain pihak lawan yang diturunkan nanti, pemain Arab Saudi mempunyai kualiti tersendiri dan mereka merupakan pemain berpengalaman sama ada di peringkat liga negara mereka mahupun di peringkat Asia," jelas Kim Swee.

Dalam perkembangan sama, beliau yakin beberapa pemain utama skuad kebangsaan daripada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) seperti Safiq Rahim dan S. Kunanlan akan kembali pulih daripada keletihan menjelang aksi menentang Arab Saudi itu.

"Pemain-pemain ini belum pulih sepenuhnya kerana beraksi dalam banyak perlawanan dan terus terbang bersama kita (semalam) dan saya percaya mereka akan pulih sepenuhnya apabila kita bermain dengan Arab Saudi nanti.

"Mereka perlu melalui program pemulihan dan daripada hari kita tiba, mereka bertambah baik," kata Kim Swee.

Malaysia perlu mencatat kemenangan ke atas Arab Saudi bagi mengelak beraksi di peringkat kalah mati ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019.