Memaparkan catatan dengan label Pemimpin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pemimpin. Papar semua catatan

Selasa, 3 Mei 2016

Jangan Jual Undi Untuk Wang Sogokan - Najib

by on 9:52:00 PTG
SRI AMAN: Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang tidak menjual undi mereka semata-mata untuk mendapatkan wang sogokan.

Perdana Menteri berkata, masa depan pengundi adalah lebih bernilai berbanding dengan wang ringgit yang cuba disogokkan oleh pihak-pihak tertentu yang mahukan undi mereka.

Mereka perlu mengutamakan masa depan mereka semasa pilihan raya ini dan bukannya menggunakan hak mereka untuk mendapat duit secara cepat.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Rumah Panjang Jegai Anak Jawa, Kampung Purai, sebuah perkampungan masyarakat Iban di Undop, kira-kira 40km, dari sini, Selasa.

Sebelum itu, calon Barisan Nasional (BN) DUN Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis, mendakwa telah menerima maklumat ada cubaan pihak tertentu untuk menyogok pengundi di kawasannya agar tidak mengundi BN.

Beliau mendakwa pengundi khususnya di kawasan kaum Iban telah ditawarkan RM100 setiap seorang untuk berbuat demikian dan akan ditambah RM200 lagi selepas pilihan raya ini.

Sementara itu, Najib berkata, beliau yakin pengundi Iban di DUN Simanggang bijak membuat pilihan mereka dan tidak mudah terjebak dengan tawaran sedemikian.

"Orang Iban orang pahlawan. Orang yang ada semangat tinggi. Jadi kita jangan jual maruah kita. Lebih penting (jangan gadai) masa depan kita," katanya.

Menurutnya, BN bukan hanya berjuang untuk memastikan kesejahteraan generasi sekarang tetapi juga untuk merancang masa depan cemerlang untuk generasi baharu.

Perdana Menteri, yang diiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat, yang juga Anggota Parlimen Sri Aman, turut mengumumkan peruntukan RM200,000 untuk beberapa projek bagi penduduk Rumah Jegai semasa majlis itu.

Francis Harden, selaku penyandang, akan ditentang calon DAP, Leon Jimat Donald, Norina Umoi Utot (PKR) dan calon Bebas, Ngu Piew Seng, dalam pilihan raya negeri, Sabtu ini. - Bernama

Isnin, 18 April 2016

Unjuran pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2016

by on 3:02:00 PTG
Pagi ini, saya berada di Dewan Negara untuk memberi jawapan lisan kepada persoalan yang dikemukakan oleh Datuk Hajah Mariany binti Mohammad Yit.

Soalan beliau meminta saya menyatakan unjuran pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2016 dan prospek Pemulihan Ekonomi Global yang menentukan kelestarian Pembangunan Ekonomi Malaysia pada 2017.

Berikut adalah jawapan saya di Dewan Negara.


JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada tahun 2016, ekonomi Malaysia dianggarkan akan berkembang pada kadar 4.0-4.5% dengan mengambil kira faktor lanskap ekonomi dan kewangan yang lebih mencabar.

Pada tahun ini, permintaan dalam negeri diunjurkan berkembang pada 4.3% (2015: 5.1%) dan akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta. Sementara itu, sektor luaran dijangka akan terus menyumbang kepada pertumbuhan melalui kepelbagaian eksport sejajar dengan peningkatan permintaan luar negeri yang sederhana. Eksport dijangka akan meningkat sebanyak 3.2% pada tahun ini berbanding 0.7% pada tahun lepas. Manakala import dijangka terus berkembang pada kadar 3.4% (2015: 1.3%). Secara keseluruhan, imbangan perdagangan dijangka akan masih mencatat lebihan positif pada tahun 2016.

Selain daripada itu, Ringgit juga mula mengukuh pada tahun ini dan telah mencapai tahap tertinggi pada 14 April 2016 iaitu 3.8650 berbanding dolar Amerika, atau peningkatan sebanyak 11 peratus sejak akhir tahun 2015, sekaligus menjadikannya sebagai matawang yang menunjukkan prestasi terbaik di rantau ini.

Unjuran perkembangan ekonomi Malaysia tahun 2016 ini telah mengambil kira faktor pemulihan ekonomi global yang dijangka masih perlahan. Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang terbuka juga terkesan daripada ketidaktentuan ekonomi global. Kelembapan ekonomi dunia terutama China, penyederhanaan harga komoditi dunia berikutan lebihan penawaran dan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan akan menjadi faktor yang menyumbang kepada kelembapan ekonomi Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua,

Pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2017 diunjurkan berkembang lebih baik selaras dengan pemulihan ekonomi global. Berdasarkan laporan World Economic Outlook (WEO) oleh Tabung Kewangan Antarabangsa pada bulan April 2016, ekonomi dunia dianggarkan berkembang pada kadar yang lebih tinggi sedikit pada 3.5% (2016: 3.2%). Perdagangan dunia pula dianggarkan akan lebih rancak pada tahun hadapan dengan peningkatan sebanyak 3.8% (2016: 3.1%). Oleh yang demikian, Malaysia dijangka akan menerima manfaat daripada perkembangan ekonomi dunia berkenaan.

Harga komoditi terutama minyak mentah juga diunjurkan meningkat dengan purata harga minyak mentah Brent, WTI dan Dubai Fateh dijangka melebihi USD40 setong pada penghujung 2017 (2016: USD34.75 setong). Secara tidak langsung, pemulihan ini dijangka akan memberi kesan positif kepada pergerakan matawang ringgit memandangkan pergerakan ringgit adalah mengikut trend harga minyak mentah dunia. Demikian juga, hasil Kerajaan daripada sumber minyak dijangka bertambah dan seterusnya akan memperkukuhkan kedudukan fiskal Kerajaan.

Daripada segi pelaburan pula, sentimen pelabur pada tahun 2017 dijangka lebih positif berdasarkan prospek ekonomi negara yang akan berkembang selari dengan pertumbuhan ekonomi dunia. Pelaburan awam juga dijangka bertambah baik berikutan langkah Kerajaan untuk menggalakkan syarikat berkaitan Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan menzahirkan keuntungan daripada pelaburan mereka di luar negara untuk dilaburkan di dalam negeri dalam projek yang mempunyai nilai pengganda yang tinggi.

Oleh yang demikian, berdasarkan landskap ekonomi dan kewangan antarabangsa yang dijangka lebih memberangsangkan pada tahun 2017, pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjur menjadi lebih kukuh. Keupayaan Malaysia untuk menghadapi kejutan luar juga akan terus diperkukuh dengan tersedianya penampan yang mencukupi, rangka kerja dasar yang teguh, kebolehsuaian ekonomi dan ruang dasar yang mencukupi.

Sekian. Terima kasih.

Sabtu, 9 April 2016

RM1.5 bilion bantu Proton

by on 9:48:00 PG
KUALA LUMPUR 8 April - Kerajaan meluluskan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion kepada Proton Holdings Berhad (Proton) bagi membolehkan syarikat automotif itu membuat pembayaran kepada vendor-vendor yang membekalkan komponen kepadanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dalam masa sama, Proton perlu memenuhi beberapa syarat yang dikenakan untuk memulihkan perniagaannya termasuk meyakinkan kerajaan tentang model perniagaan baharunya yang berdaya maju dan berdaya saing.

Katanya, Proton perlu melaksanakan tiga perkara utama iaitu mewujudkan pelan penstrukturan semula dan menyediakan pelan strategik untuk memperluaskan pasaran di dalam dan luar negara.
Di samping itu, menurut beliau, Proton juga harus mendapatkan rakan kongsi terkemuka yang akan membantu dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Langkah ini dilaksanakan memandangkan kerajaan sedar bahawa industri automotif adalah industri yang strategik. Proton setakat ini mempunyai 12,000 pekerja yang bekerja secara langsung dan kira-kira 50,000 lagi yang bekerja dengan syarikat-syarikat vendor yang bergantung kepada syarikat ini.
“Keputusan Kabinet ini turut mengambil kira kebajikan kira-kira 60,000 pekerja yang bergantung secara langsung kepada masa depan Proton,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

DRB-Hicom Bhd. (DRB-Hicom) pada 25 Mac lalu mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Fuaad Mohd. Kenali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Proton menggantikan Datuk Abdul Harith Abdullah yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan bagi Pengedaran Automotif dan Pertahanan DRB-Hicom.

Selang beberapa hari kemudian, Proton mengumumkan peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusinya, berkuat kuasa serta-merta. Beliau memegang jawatan Penasihat Proton sejak 2003 selepas bersara sebagai Perdana Menteri keempat dan dilantik Pengerusi syarikat bermula 16 Mei 2014.

Mustapa sebelum ini berkata, kerajaan telah memperuntukkan bantuan kepada Proton dalam bentuk geran dan pelbagai bentuk bantuan lain serta cukai yang tidak dikutip berjumlah RM13.9 bilion sejak syarikat itu ditubuhkan pada 1983.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad baru-baru ini berkata, penstrukturan semula Proton adalah penting untuk membawa perubahan kepada industri automotif secara keseluruhan termasuk vendor-vendor yang turut me­nerima kesan daripada kelembapan ekonomi.

Menurut Mustapa, bagi memastikan program transformasi Proton mencapai kejayaan, sebuah pasukan petugas ditubuhkan dengan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala yang turut disertai tiga wakil daripada sektor swasta dan kerajaan.

Katanya, wakil kerajaan terdiri daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Unit Pe­rancang Ekonomi manakala wakil-wakil sektor swasta akan dikenal pasti secepat mungkin.

“Selain daripada memastikan syarat-syarat pinjaman mudah dipatuhi, pasukan ini juga dikehendaki meneliti model perniagaan Proton pada masa lalu, mengenal pasti kelemahan dan langkah-langkah untuk mengatasinya,” katanya.


Rabu, 6 April 2016

Guling MB: Itu pandangan peribadi, kata Azalina

by on 6:46:00 PTG
KUALA LUMPUR - Dakwaan wujudnya gerakan untuk menjatuhkan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai menteri besar Johor yang tersebar di media sosial, semalam hanyalah bersifat pandangan peribadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kebanyakan bacaan politik yang dilontarkan di media sosial dibuat atas kapasiti peribadi.

"Kalau datang daripada Facebook, itu pandangan peribadi, atau kadang-kala orang membuat bacaan politik mereka sendiri.

"Bagi saya kalau semua status Facebook kita nak respon, macam mana orang politik nak kerja," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan itu yang dimuat naik di akaun Facebook anak kepada Speaker Dun Johor, Datuk Mohamad Aziz.

Anak Speaker Dun Johor itu iaitu Syukur Mohamad mendakwa, gerakan itu dilakukan oleh seorang timbalan menteri yang bakal menggantikan Mohamed Khaled bagi pihak Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memantau dan mengawal Umno Johor.

Syukur juga mendakwa, di sebalik gerakan itu, sejumlah wang bernilai RM1 juta ditawarkan untuk meyakinkan Umno Bahagian Pagoh untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketuanya.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, beliau agak terperanjat dengan dakwaan itu sambil menyifatkan menteri besar Johor tidak seperti bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Takkan penyokong nombor satu presiden parti ini ada masalah. Saya rasa tiada. Saya tak lihat (Mohamed Khaled) sebagai pemimpin bersifat seperti gunting dalam lipatan, tiada langsung.

"Dalam mesyuarat badan perhubungan Pengerang, tiada pula berlaku macam rasa tak puas hati dengan kepimpinan pengerusi perhubungan (Mohamed Khaled)," katanya lagi.

Sabah Gantung Aktiviti Perniagaan Tukar Barang - Ketua Menteri

by on 6:38:00 PTG
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menggantung semua aktiviti perniagaan tukar barang berkuat kuasa serta merta di semua pelabuhan di negeri ini sebagai langkah drastik untuk mengekang sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk penculikan.


Penggantungan itu merupakan satu daripada lapan keputusan dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet Negeri pada Rabu yang diumumkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berikutan insiden penculikan rakyat Malaysia di perairan Pulau Ligitan Jumaat lalu oleh kumpulan bersenjata dari selatan Filipina.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet Negeri itu, Musa berkata mesyuarat turut memutuskan menggantung serta merta semua aktiviti perniagaan secara 'transhipment' atau pemindahan ke kapal, termasuk perdagangan petroleum dan gas di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dan menangguhkan cadangan pelaksanaan perkhidmatan feri penumpang antara Kudat di Sabah dan Palawan di Filipina.

Katanya Kabinet juga memutuskan supaya semua perkara yang menyalahi peraturan dalam aktiviti pelayaran, perdagangan di laut dikuatkuasakan sepenuhnya mengikut perundangan oleh semua agensi penguatkuasaan di timur Sabah.

Dengan keputusan itu, katanya semua kapal, termasuk kapal luar, dan bot yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang serta mengancam keselamatan negara tidak akan dibenarkan memasuki perairan Sabah.

Musa berkata Kabinet juga memutuskan supaya konsep pelaksanaan perintah berkurung akan diubah suai serta berkuat kuasa sepenuhnya termasuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap sesiapa sahaja atau bot dan kapal yang melanggar arahan pihak berkuasa di Esszone.

"Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) juga sedang meneliti ancaman-ancaman keselamatan di sebalik penggunaan 'pump boat' di Sabah. Semua penggunaan pump boat akan diperiksa oleh pihak berkuasa dan mana-mana individu atau kumpulan bukan warganegara yang didapati menggunakan pump boat akan dirampas serta merta oleh pihak berkuasa," katanya.

Katanya penelitian juga akan dibuat secara mendalam untuk melaksanakan tindakan pencegahan bagi kegiatan-kegiatan perampasan serta penculikan terhadap kapal-kapal perdagangan di perairan berisiko di pantai timur Sabah termasuk memberi perlindungan keselamatan oleh pihak berkuasa namun pelaksanaannya kelak perlukan kerjasama pemilik kapal serta penyelarasan berkesan.

Selain itu, beliau berkata tindakan agresif tanpa kompromi juga akan dijalankan serta merta untuk mengukuhkan keselamatan di timur Sabah oleh semua agensi mengikut kuasa dan perundangan semasa yang berkuasa.

"Inilah yang telah kita bincangkan tadi dalam Jemaah Menteri dan ini semua dipersetujui. Bagi kita, ini merupakan kaedah terbaru yang kita ambil kerana selama ini (ada pihak menganggap) seolah-olah kita tidak mengambil berat perkara ini.

"Apa sahaja yang masuk ke negara kita, kita akan ambil tindakan segera termasuk kepada pedagang sebab kita tidak tahu siapa pedagang sebenar atau mungkin orang yang tidak diingini datang secara haram ke perairan kita," katanya.

Ketua Menteri berkata langkah itu diambil bagi menunjukkan betapa seriusnya kerajaan negeri dalam usaha menangani masalah dari segi keselamatan termasuk penculikan, dan menafikan tanggapan sesetengah pihak kononnya kerajaan negeri dan persekutuan tidak bersungguh-sungguh menangani masalah keselamatan di perairan Sabah.

Musa menegaskan kerajaan memandang serius soal keselamatan atas kesedaran bahawa ancaman itu bukan sahaja akan mendatangkan masalah kepada rakyat dan Sabah sahaja tetapi juga terhadap negara keseluruhannya.

"Kita juga minta kerajaan Filipina supaya mengambil berat mengenai perkara ini (penculikan rakyat negara ini oleh pihak tidak bertanggungjawab di Filipina).

"Perkara ini memberi kesusahan kepada negeri kita Sabah sehingga kita merasa tidak wujud keselamatan di negeri kita. JKKN mengambil langkah seperti ini untuk memberi isyarat kepada pihak sebelah sana (Filipina) bahawa kita amat serius dengan apa yang berlaku di negeri kita dan kegiatan pihak tidak bertanggungjawab dari negara jiran," katanya.

Najib akan kemuka surat tuntutan kepada Rafizi berhubung kenyataan pembelian kain

by on 2:31:00 PTG
Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengemukakan surat tuntutan kepada Mohd Rafizi Ramli supaya memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang mendakwa Perdana Menteri menyalahgunakan wang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berhubung pembelian kain di sebuah gedung tekstil terkemuka di negara ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun kepada pemberita selepas pengurusan kes saman fitnah membabitkan Najib dan bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk John Louis O'Hara hari ini.

Mohd Hafarizam berkata, beliau mendapat arahan daripada perdana menteri semalam untuk menyiapkan dan menyerahkan surat tuntutan kepada Naib Presiden PKR itu secepat mungkin.

Mohd Rafizi, yang juga Setiausaha Agung PKR didakwa mengeluarkan kenyataan itu ketika perhimpunan mansuh GST di Dataran Merdeka, 2 April lepas.

Sementara itu, Mohd Hafarizam berkata, kes saman Najib terhadap Dr Ling akan didengar di hadapan hakim lain berikutan O'Hara hari ini menarik diri daripada mendengar kes saman berkenaan.

Katanya, hakim itu menarik diri untuk mengelakkan salah tanggapan masyarakat kerana beliau dan Dr. Ling merupakan alumni Maktab Tentera Diraja iaitu Persatuan Bekas Putera.

Peguam itu berkata, keputusan O'Hara itu tidak dibantah oleh pihaknya dan juga peguam Villie Nethi, mewakili Dr Ling.

"Kes berkenaan akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin tetapi masih belum ada tarikh yang ditetapkan untuk sebutan kes itu," kata Mohd Hafarizam.

Najib memfailkan saman terhadap Dr. Ling atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya yang disiarkan menerusi satu artikel dalam sebuah portal berita pada 3 Okt tahun lepas.

Pada 27 Okt tahun lepas, Najib menyaman Dr. Ling selaku defendan, antara lain memohon perintah supaya bekas menteri pengangkutan itu menyiarkan kenyataan memohon maaf dalam akhbar atau majalah yang dikenal pasti oleh Najib, dalam bentuk dan terma yang akan ditentukan olehnya.

Najib juga memohon perintah injunksi untuk menghalang Dr Ling atau melalui kakitangan atau ejennya daripada terus menuturkan atau menyiarkan apa-apa kenyataan berbaur fitnah atau apa-apa perkataan berbaur fitnah yang serupa terhadapnya.

Beliau juga memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib mendakwa Dr Ling telah secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti di sini, yang disiarkan menerusi satu artikel dalam sebuah portal berita pada 3 Okt 2015.

Katanya, perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau (Najib) menyalahgunakan dana kerajaan ke dalam akaun peribadi untuk kepentingan peribadi, menyalahgunakan dana kerajaan milik sebuah syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta tidak kompeten atau layak menjadi ketua kerajaan atau perdana menteri Malaysia.http://malaysiagazette.com/