Isnin, 10 Julai 2017

Pengamal Sihir Pengikut Ajaran Iblis

SIHIR ialah suatu ilmu diperkenalkan oleh syaitan kepada manusia yang akan mengundang kemudaratan sama ada kepada orang yang mengamalkannya ataupun mangsanya.

Ilmu ini sudah wujud sejak zaman berzaman dan ia masih diamalkan oleh segelintir manusia hingga ke hari ini bagi mencapai matlamat tertentu terutamanya mahu menjatuhkan musuh ataupun ingin menjadi kaya.

Menurut Allahyarham Datuk Dr Haron Din, sihir adalah suatu ilmu yang tersembunyi, suatu jenis seni yang memerlukan kemahiran khusus menerusi konsentrasi amalan kebatinan secara berasosiasi dengan makhluk halus untuk dapatkan kekuatan batin yang boleh menyebabkan pengamalnya menghasilkan perkara-perkara luar biasa, mencarik adat, memukau sehingga mangsa patuhi apa sahaja kehendak pengamalnya dengan terpaksa.

Selain itu, kita sering mendengar perniagaan tidak menjadi jika keluarga, sahabat atau jiran-jiran terkena sihir.

Perkara ini amat menjadi kebiasaan sehingga kita tidak lagi terkejut mendengar perniagaan 'si polan itu si polan ini' terkena sihir. Kenapa ia berlaku?

Jika ia berlaku bagaimanakah mangsa boleh mendapat pembelaan sewajarnya? Ikuti laporan Sorot minggu ini berkenaan isu sihir, santau atau lebih popular dengan panggilan mandrem.

Artis berniaga baju raya disihir

Dua benda 'pelik' berupa tiga keratan buluh yang diikat dengan tali dan dibakar pada hujungnya dijumpai di kios perniagaan pelakon Aeril Zafrel, 28, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Johor Bahru, Ramadan lalu.

Barang pelik itu ditemui salah seorang pekerjanya masing-masing satu di kios PWTC dan Johor Bahru, Aeril bagaimanapun enggan menuduh mana-mana pihak yang dikatakan cuba mensabotaj diri dan perniagaannya.

Penemuan itu turut dikongsi aktor berkenaan di laman Instagramnya berserta kapsyen, "Jumpa benda alah ni kat booth masa meniaga malam tadi kat PWTC.

"Apalah niat sebenarnya? Astaghfirullah...bulan Ramadan pun nak buat macam ni...Bukan booth kat KL je. Booth kami di Johor pun serupa, staf jumpa benda yang sama...
"Zaman sekarang ada lagi orang percaya benda-benda ni. Dah bawak pergi jumpa pakar dalam bidang ni. Ternyata benda ni sihir! Cukup-cukuplah. Percaya pada rezeki masing-masing (#sayatahusiapakamu)," katanya.

Aeril dan isterinya aktres Wawa Zainal yang membuka kios jualan Lima Waktu dan Wawa Zainal RTW berkata, dia tidak pernah memusuhi sesiapa sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati mana-mana pihak terhadapnya.

"Memang terkejut dengan kejadian yang berlaku. Saya tidak pasti ini kerja siapa dan enggan menuduh mana-mana pihak yang melakukannya. Lagipun saya tidak tahu niat mereka berbuat demikian.

"Alhamdulillah apa yang dilakukan juga tidak mendatangkan kesan terhadap perniagaan kami dan ia tetap berjalan lancar," katanya.

Bagaimanapun, Aeril kecewa kerana masih ada pihak mengamalkan cara yang dilarang agama, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.

"Saya minta sesiapa yang melakukan perkara ini supaya bertaubat dan kembali kepada ALLAH. Kami sudah merujuk kepada pengamal perubatan Islam dan mereka mengesahkan ia memang perbuatan sihir dan berkaitan ilmu hitam," katanya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Aeril dan Wawa memasang 'pendinding diri' untuk mengelakkan diri terkena perbuatan sihir pihak yang cuba mengkhianati mereka.

"Kami disaran sentiasa mengamalkan membaca ayat-ayat al-Quran dan berzikir," katanya.-Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan