KUALA LUMPUR 4 April - Boustead Holdings Bhd. (BHB) dijangka meraih hasil sebanyak RM1.5 bilion menerusi terbitan hak boleh ditolak dan cadangan terbitan bonus serta pelupusan tiga asetnya yang akan dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini.
Timbalan Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata, syarikat menjangka meraih sebanyak RM500 juta daripada pelupusan aset membabitkan kawasan tanah kuari di Johor, kepentingan 30 peratus dalam syarikat hartanah Jendela Hikmat Sdn. Bhd. dan tanah ladangnya.
Katanya, hasil daripada pelupusan aset tersebut akan digunakan untuk menurunkan kadar hutang syarikat yang merupakan keutamaan bagi pihak pengurusan.
“Seperti yang diketahui hutang kami agak tinggi iaitu ketika ini sebanyak RM1.1 bilion dan dijangka dapat diturunkan kepada RM900 juta selepas pelupusan itu yang dijangka dicapai pada hujung tahun ini.
“Kami percaya pelupusan aset bukan utama ini akan membolehkan kami memanfaatkan nilai aset terbabit dan menjana tunai kepada syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), diikuti Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) BHB di sini hari ini.
Sementara itu, Lodin Wok berkata, BHB menerima majoriti bagi terbitan hak boleh ditolak dan cadangan terbitan bonus yang dijangka meraih RM1 bilion kepada Kumpulan.
Cadangan terbitan hak yang selaras dengan komitmen untuk mempertingkatkan fleksibiliti kewangan dan mengukuhkan kecairan tersebut melibatkan penerbitan 413,671,221 saham baharu bernilai RM0.50 sesaham.
Terbitan hak yang dicadangkan dibuat atas dasar dua saham baharu bagi lima saham BHB yang dipegang pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan kemudian.
BHB telah mencatatkan untung sebelum cukai sebanyak RM269 juta dan hasil sebanyak RM8.7 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.
Bahagian hartanah telah menjadi penyumbang utama kepada peroleh Kumpulan diikuti oleh perladangan, farmaseutikal, kewangan dan pelaburan serta perdagangan dan perindustrian.
- See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/bhb-jangka-raih-hasil-rm1-5-bilion-1.208755#sthash.xbDpTkEZ.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan