KUALA LUMPUR 4 April - Bina Darulaman Bhd. (BDB) menumpukan pembinaan rumah-rumah mampu milik sepanjang tahun ini termasuk melalui pelancaran dua projek perbandaran baharunya di Kedah pada penghujung 2016 bernilai pembangunan kasar (GDV) RM2.95 bilion.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Izham Yusoff berkata, BDB ketika ini sudah mempunyai tiga portfolio perbandaran iaitu Bandar Darulaman, Darulaman Perdana dan Darulaman Utama dan menjangka dua lagi yang baharu itu ialah Darulaman Saujana dan Darulaman Putra.
Katanya, khusus untuk segmen mampu milik BDB juga akan melancarkan Apartmen Mampu Milik Indera yang membabitkan 336 unit kediaman di Taman Tunku Intan Safinaz, Jitra Kedah pada Mei atau Jun ini.
“BDB sememangnya menumpukan pembinaan projek-projek mampu milik. Hampir 70 peratus produk-produk kami dikategorikan sebagai kediaman mampu milik yang berharga di bawah RM500,000 mengikut standard harga kebangsaan.
“Meskipun margin keuntungan yang lebih tinggi jika membangunkan kediaman mewah, namun ia tidak menjadi fokus utama syarikat. Segmen kediaman mampu milik sentiasa ada pembeli dan kami mahu menjadikan BDB sebagai pilihan mereka,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan BDB di sini baru-baru ini.
Selain itu BDB akan turut melancarkan 1,343 buah rumah dengan GDV RM485 juta pada 2016. Tambahnya, lebih 70 peratus daripada jumlah rumah yang akan dilancarkan itu berada dalam kategori rumah mampu milik berharga RM500,000 ke bawah.
Pelancaran itu akan dilakukan menerusi perbandaran sedia ada milik syarikat itu Bandar Darulaman, Darulaman Perdana dan Darulaman Utama yang kesemuanya terletak di Kedah.
BDB merupakan entiti milik Kerajaan Negeri Kedah yang ditubuhkan pada 1995. Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, milik Kerajaan Negeri Kedah adalah pemegang saham terbesar syarikat itu dengan kepentingan 67 peratus.
Kata Izham lagi, kebanyakan pembeli di Kedah membeli rumah untuk diduduki berbanding di Lembah Klang dengan pembeli kebanyakan merupakan pelabur hartanah. Malah katanya, untuk mendapatkan pinjaman bank bagi membeli rumah dalam kategori mampu milik lebih mudah diperoleh.
“Kami positif terhadap prospek pasaran yang diterokai dan berada di landasan yang betul untuk terus mencatatkan pertumbuhan pendapatan syarikat. Dengan mengutamakan segmen mampu milik, BDB boleh menjana jualan yang baik,” katanya.
Katanya, strategi menawarkan rumah mampu milik juga dapat memberi kelebihan kepada BDB untuk jangka panjang. Hal itu boleh menaikkan imej syarikat dan populariti produk-produk BDB terutama apabila pembeli cuba mendapatkan kediaman-kediaman mewah milik syarikat.
Jelasnya, BDB juga mula meluaskan aset di luar Kedah apabila berjaya mendapatkan tanah berkeluasan 3.6 hektar di Kuala Kangsar, Perak.
Aset tanah itu diperolehi oleh anak syarikat BDB, Kedah Holdings Sdn. Bhd. yang dijangka melancarkan projek pembangunan bercampur dengan GDV RM40 juta pada suku kedua tahun ini dengan tempoh pembinaan dua tahun.
- See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/bdb-bakal-lancar-perbandaran-baharu-bernilai-rm2-95-bilion-1.208724#sthash.H0s6BzEW.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan