Sabtu, 4 Mac 2017

Kesalahan VISA 126 Pelajar Malaysia Ditahan di Mesir

KUALA LUMPUR: Seramai 126 pelajar Malaysia yang bersekolah di sebuah maahad tahfiz di Al Sharqia, Mesir ditahan polis negara itu pada 27 Februari lalu, berhubung kesalahan visa pelajar.

Setiausaha Kedua Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mohd Husaini Zainuddin berkata pelajar berusia 10 hingga 22 tahun itu ditahan kerana tidak memiliki visa belajar yang sah atau tamat tempoh.

“Mereka kemudian dibawa ke Pusat Latihan Pasukan Polis Wilayah A1 Sharqia untuk diambil keterangan dan berada di bawah pengawasan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata pada 28 Februari lalu, pihak National Security Service (NSS) Mesir memutuskan 104 daripada pelajar itu akan dihantar pulang manakala selebihnya dibebaskan dan kini di bawah pengawasan pihak kedutaan.

Seramai 104 pelajar itu akan dihantar pulang ke Malaysia secara berperingkat mulai esok, katanya.

Mohd Husaini berkata urusan penghantaran pulang diuruskan dengan pihak berkuasa Mesir dan ia dijangka dilakukan dalam dua kumpulan, pada 4 dan 5 Mac.

Mohd Husaini berkata pihaknya percaya kegagalan maahad tahfiz itu berdaftar dengan Sektor Sekolah Al Azhar menyebabkan pihak berkuasa Mesir tidak memberi visa kepada kumpulan pelajar berkenaan.

“Pihak kedutaan menekankan kepentingan maahad tahfiz untuk berdaftar secara sah dengan Sektor Sekolah Al Azhar bagi membolehkan pelajar-pelajar MTMA diberikan visa yang sah oleh pihak berkuasa Mesir,” katanya. – BERNAMA

(BHONLINE)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan