Selasa, 14 Mac 2017

Selangor Negeri Terkaya dan Tertinggi Individu Bankrap

Selangor mencatatkan kes tertinggi bagi individu yang telah dijatuhkan bankrap iaitu 22,593 kes manakala Perlis mencatatkan kes terendah iaitu sebanyak 354 kes.

Menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman, catatan tersebut berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dimana statistik dari tahun 2013 hingga 2016 menunjukkan sebanyak 82,383 individu telah dijatuhkan bankrap oleh Mahkamah.

“Bagi tempoh yang sama, sebanyak 57,082 kes kebankrapan (69.3%) melibatkan golongan lelaki dan 25,301 kes kebankrapan (30.7%) melibatkan perempuan.

“Selain itu, 617 kes kebankrapan direkodkan pada tahun 2013 melibatkan penjawat awam, 606 kes pada tahun 2014, 960 kes pada tahun 2015 dan 1,093 kes pada tahun 2016 menjadikan jumlah keseluruhan penjawat awam yang diisytiharkan bankrap dari tahun 2013 hingga 2016 ialah 3,276 orang.

“Terdapat peningkatan sebanyak 13.9% (133 orang) jumlah penjawat awam yang diisytiharkan bankrap pada tahun 2016 berbanding tahun 2015,” katanya bagi menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng di Dewan Rakyat, Rabu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan