Jumaat, 15 April 2016

Adenan umum lima calon, tiga masih menjadi teka-teki

SIBU: Tiga lagi senarai calon Barisan Nasional (BN) bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi, Tasik Biru dan Meradong masih menjadi tanda tanya selepas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengumumkan lima calon pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) di sini, semalam.
Dua daripadanya merupakan calon terus BN iaitu Kapitan Datuk Janet Lau bagi kerusi DUN Pelawan dan Tan Sri William Mawan Ikom yang masih diberi kepercayaan mempertahan Pakan yang dimenanginya pada PRN 2011.
Adenan turut mengumumkan tiga calon daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) iaitu Willie Liau yang akan bertanding di Ba’Kelalan, Rolland Duat (Meluan) dan Kilat Briak (Krian).
Adenan semasa ditanya selepas sidang media tersebut turut mengakui beberapa kawasan bandar masih dalam kategori kelabu.
“Saya tidak pasti jumlahnya tetapi memang masih terdapat kawasan bandar di kategori sebagai kawasan hitam juga…kelabu dan putih,” ujar beliau.
Bercakap lanjut, Adenan turut mengesahkan bahawa empat pemimpin UMNO dilarang masuk ke Sarawak semalam.
Keempat-empat mereka Ketua UMNO Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos, Presiden Eratkan Perhubungan Antara Negeri Ariffin Abu Bakar, Presiden Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN) Mejar (B) Razali Zakaria dan Rahim Ibrahim yang terlibat dalam Gabungan NGO Melayu.
“Itu adalah jawapan kepada Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang sering mendakwa kita hanya melarang pembangkang sahaja,” katanya. – Utusan Borneo.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan