Jumaat, 15 April 2016

Terus Kempen Biarpun Pemimpin Tidak Dibenar Masuk Sarawak

MIRI: Larangan masuk terhadap pemimpin Pakatan Harapan ke Sarawak sama sekali tidak mematahkan semangat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zon Utara untuk terus berkempen memenangi hati rakyat terutama dalam kalangan pengundi.
Ketua PKR Baram Roland Engan berkata, keputusan kerajaan negeri itu seperti menindas hak rakyat Sarawak yang percaya amalan demokrasi dan keadilan dalam pilihan raya.
Beliau memberitahu, kehadiran pemimpin Pakatan Harapan dari Semenanjung Malaysia itu kerana jemputan bertujuan membantu parti dan menemui penyokong.
“Kami tidak mempersoal kuasa autonomi imigresen Sarawak tetapi kami mempersoalkan cara Adenan melaksana kuasanya sebagai Ketua Menteri dan pengerusi BN Sarawak,” tegas beliau di sini, semalam.
Antara yang dilarang memasuki negeri ini ialah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Subang R Sivarasa, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok. Turut dilarang masuk ialah Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu.
Ceramah umum yang dirancang diadakan pada 17 April ini di pasar Lapok, Tinjar Baram akan diteruskan walaupun tanpa kehadiran pemimpin tertinggi PKR.
Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijemput untuk menemui penyokong parti di Lapok.
Manakala Setiausaha PKR Baram Dennis Along menjelaskan bahawa jika Azmin turut dihalang masuk ke Sarawak, parti itu tetap terus berkempen.
“Kami berharap kerajaan negeri tidak bertindak terlampau drastik menghalang beliau (Azmin),” katanya.
Beliau memberitahu, jemputan terhadap Azmin untuk menyempurnakan jentera kempen PKR Zon Utara merangkumi kawasan DUN Marudi, Telang Usan, Mulu, Murum, Senadin, Bekenu dan Lambir.
Dennis berkata, aktiviti bermula jam 8 pagi hingga 4 petang menyasarkan seramai lebih 1,000 penyokong parti di sekitar kawasan Lapok.
Penyokong juga boleh menemui calon berpotensi PKR Zon Utara yang turut akan menyampaikan ucapan mereka.
Antaranya, Pengerusi PKR Sarawak dan ADUN Ba’Kelalan Baru Bian, calon berpotensi Senadin Steve Teo, calon Lambir Mohdar Ismail, calon Bekenu Gaby Janting Douglas, calon Telang Usan Roland Engan, calon Marudi Elia Bit, calon Mulu Paul Baya dan calon Murum Abun Sui. – Utusan Borneo.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan