GOMBAK - Mayat seorang wanita tanpa identiti yang dipercayai mangsa bunuh ditemui dengan kaki dan tangannya terikat dengan pita pelekat di dalam gaung di Batu 20, Gombak Lama menghala Genting Sempah di sini semalam.
Mayat itu ditemui beberapa peserta larian dan berbasikal pertandingan Route 68 Challenge 2016 selepas terhidu bau busuk ketika melalui jalan utama pada pukul 9.30 pagi.
Satu sumber berkata, mangsa yang dipercayai warga tempatan itu mungkin dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang ke dalam gaung tersebut.
Katanya, polis terpaksa meminta bantuan pihak bomba untuk menaikkan mayat itu berikutan ia terhumban lebih 30 meter ke datum gaung.
"Mayat ditemui dalam kead- aan tertiarap memakai baju-T warna merah dan berseluar pendek warna kelabu.
"Hasil pemeriksaan men- dapati, kaki dan tangan mangsa diikat dengan pita pelekat malah, pasukan forensik polis yang menjalankan siasatan di lokasi turut menemui dua kesan tikaman di bahagian kanan leher mangsa," katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.
Menurut sumber itu lagi, identiti mangsa belum diketahui berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui setakat ini.
"Polis tidak menemui barangan lain mangsa di tempat kejadian dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti identiti mangsa dan motif pembunuhan," ujarnya.
Tambahnya lagi, mangsa dipercayai telah mati sejak seminggu lalu berikutan keadaan mayatnya sudah kembung dan berulat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad (gambar kecil) ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat itu dan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
-Kosmo 11 4 16
Tiada ulasan:
Catat Ulasan