Selasa, 3 Mei 2016

Rumah mampu milik di Selangor : jangan salahkan kerajaan pusat

HULU LANGAT – Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz berkata, rakyat khususnya di negeri itu tidak seharusnya menuding jari menyalahkan kerajaan pusat berkaitan rumah mampu milik di negeri berkenaan kerana bukan kerajaan pusat tidak mahu membinanya tetapi ia tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri.

Jelasnya, kerajaan pusat sentiasa memahami bahawa rakyat mahukan rumah mampu milik memandangkan harga rumah masakini melonjak tinggi namun sayangnya kerajaan negeri Selangor tidak memberikan kerjasama yang baik kepada kerajaan pusat di dalam isu ini.

“Kerajaan negeri memang ada buat program rumah mampu milik di bawah SelangorKu tetapi bagi saya ia gagal. Harga rumah mahal dan rakyat tidak mampu untuk beli terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Rakyat perlu tahu perkara ini dan jangan hanya menuding jari menyalahkan Perdana Menteri dan kerajaan pusat. Semasa Barisan Nasional (BN) memerintah Selangor dulu, kita bangunkan tanah kerajaan negeri.

“Ada rumah ‘single storey’ yang dimajukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dahulu hanya berharga RM15 ribu. Kini semua ini tidak ada lagi. Harga rumah yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri pimpinan PKR sekarang ini jauh lebih tinggi.

“Rakyat boleh semak apa yang saya cakap ini sebab ini adalah fakta. Bukannya retorik politik,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Johan, sekarang ini kerajaan negeri Selangor memaksa pemaju untuk menyerahkan sebahagian kuota kepada program Selangorku tetapi tanah milik pemaju. Kerana itulah harga rumah menjadi mahal.

“Kita kerajaan pusat masih terus membangunkan rumah (PR1MA) tetapi disebabkan negeri ini bukan lagi milik BN jadi kita menghadapi masalah untuk mendapat kelulusan. Kerajaan pusat telah merancang berjuta unit rumah untuk rakyat.

“Malangnya, di Selangor ini, apabila kawasan perumahan itu dirancang untuk dibina, kebenaran merancang (Development Order) tidak dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” jelasnya lagi.

Di dalam Manifesto Pakatan Rakyat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), mereka menjanjikan sebanyak 150,000 rumah mampu milik dalam kategori kos rendah (bawah RM 75,000) dan kategori kos sederhana (antara RM 150,000 hingga RM 250,000) akan dibina dalam tempoh penggal pertama pentadbiran.

RM 5 bilion akan dilabur Pakatan Rakyat dalam tahun pertama untuk membina rumah mampu milik, diikuti peruntukan RM 2 bilion dari tahun kedua hingga kelima. – MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan