Selasa, 5 April 2016

Ringgit Dijangka Mengukuh kepada RM3.60 Tempoh Terdekat



KUALA LUMPUR 4 April - Penganalisis ekonomi tidak menolak kemungkinan ringgit boleh mencecah RM3.60 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila faktor-faktor luaran terma­suk harga minyak dunia dan dasar kewangan di AS terus memihak kepada Malaysia.
Ringgit hari ini terus mengekalkan momentum pemulihannya di bawah paras RM4.00 berbanding dolar apabila mula mencecah paras RM3.88 iaitu kedudukan terbaiknya sejak Ogos 2015.
Pada sesi pagi hari ini, mata wang itu dibuka pada RM3.8815 berban­ding dolar dan mengukuh kepada RM3.8800 semasa sesi tengah hari sebelum ditutup pada RM3.9020.
Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Bhd., Datuk Dr. Mohd. Nazri Khan Adam berkata, pengukuhan ringgit berlaku secara konsisten merupakan sesuatu yang positif setelah sebelum ini bergelut akibat ketidaktentuan pasaran kewangan dan komoditi dunia.
“Langkah tidak agresif AS me­ngubah dasar kewangannya, pemulihan harga minyak dunia serta kemasukan semula pelabur-pelabur asing ke Bursa Malaysia telah menarik minat pelabur terhadap ringgit sekali gus menaikkan nilai mata wang itu.
“Ringgit dijangka kekal di bawah paras RM4.00 sepanjang tahun ini berlegar antara RM3.80 hingga RM3.90 berbanding dolar. Namun, kami tidak menolak ringgit boleh mencecah sehingga RM3.60 jika semua faktor luaran terus memihak kepada Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, pemulihan ringgit secara berperingkat adalah lebih baik kerana pengukuhan secara mengejut mampu memberi impak buruk terhadap eksport negara. Keadaan itu seterusnya boleh menjejaskan lebihan eksport berbanding import yang telah dinikmati Malaysia sejak 1998.
“Walaupun kita mengharapkan ringgit terus pulih, namun pergerakan secara berperingkat lebih baik agar tidak memberi kejutan kepada pasaran. Pasaran mungkin perlu membiasakan dengan keadaan ringgit antara RM3.80 hingga RM3.90 terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata, ini kerana terdapat negara seperti China dan Jepun me­lancarkan pakej rangsangan ekonomi yang kini mahu menjadikan eksport masing-masing kompetitif termasuk menggunakan strategi perubahan nilai mata wang.
Pada masa sama, Mohd. Nazri berkata, pengukuhan mata wang kini tidak berlaku terhadap ringgit sahaja tetapi turut meliputi beberapa negara serantau yang lain.
Sementara itu, menurut firma penyelidikan MIDF Research, pada tahun ini sahaja, ringgit sehingga kini telah meningkat sebanyak 10.4 peratus, berbanding penyusutan 18.6 peratus sepanjang 2015.
Jelasnya, dengan kemasukan semula pelabur-pelabur asing untuk mendapatkan saham-saham di Bursa Malaysia turut berjaya memastikan ringgit kekal di bawah paras RM4.00 sehingga kini.
Menurut firma itu, perbelanjaan pelabur-pelabur asing membantu pengukuhan ringgit setelah harga minyak dunia kini tidak berupaya mendorong kenaikan ringgit lagi setelah lonjakan semula harga komoditi itu terhenti pada AS$40 (RM156) setong.
“Secara bersihnya, pelabur-pe­labur asing membelanjakan sehingga RM6.1 bilion untuk membeli saham-saham tempatan sepanjang Mac. Kami percaya pembelian saham oleh pelabur asing pada bulan lalu adalah antara yang tertinggi secara bulanan dalam sejarah negara,” jelas firma itu dalam nota penyelidikannya.
- See more at: http://m.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/ringgit-mampu-cecah-rm3-60-1.208752#sthash.jZDsUboE.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan