Bantahan meletus di luar konsulat Turki di bandar pelabuhan Belanda di sini lewat semalam di tengah pertikaian dengan Ankara selepas pihak berkuasa negara ini melarang kunjungan menteri dari Turki.
Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan kira-kira 1,000 orang mengibarkan bendera Turki berkumpul di jalanan menuju ke konsulat ketika ketegangan memuncak berhubung perhimpunan di luar negara bagi membantu Ankara memperoleh sokongan untuk undian pungutan suara April ini.
Polis menghantar sejumlah besar pasukannya, namun penunjuk perasaan kelihatan tenang, melaungkan slogan dan menjerit ketika kesesakan jalan raya berlaku di bandar pelabuhan selatan itu.
Ketegangan memuncak selepas pihak berkuasa Belanda awal semalam enggan memberi kebenaran mendarat kepada pesawat membawa Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu dalam meraih sokongan untuk pungutan suara kontroversi April ini.
Agensi berita rasmi Turki Anadolu berkata, sebaliknya, Menteri Keluarga Turki, Fatma Betul Sayan Kaya dilaporkan melakukan perjalanan darat dari bandar Jerman di Dusseldorf ke bandar ini.
Televisyen Turki melaporkan, Kaya ditahan polis Belanda kira-kira 30 meter dari konsulatnya di sini.
“Kami sudah berada di sini selama kira-kira empat jam. Malah kami tidak diberi seteguk air pun. Polis Belanda enggan membenarkan saya memasuki konsulat.
“Saya dimaklumkan supaya meninggalkan negara ini dan kembali ke Jerman secepat mungkin. Namun saya tidak akan berganjak kecuali dibenarkan bertemu walau lima minit dengan rakyat kami,” katanya.
Penyiar awam Belanda NOS berkata, polis bercadang mengiringi Kaya pulang ke sempadan Jerman.
Belanda menempatkan kira-kira 400,000 penduduk berasal dari Turki dan Ankara dilihat mahu memanfaatkan undi diaspora di Eropah menjelang pungutan suara 16 April ini.-RespectMyPM
Ahad, 12 Mac 2017
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan